NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun Tak Lagi Boleh Daftar FB, IG, TikTok, YouTube – MCMC

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun baharu di platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube susulan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang mula berkuat kuasa hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa pelaksanaan kedua-dua kod tersebut di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) merupakan langkah penting dalam usaha memperkukuh keselamatan digital serta melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian.

Menurut MCMC, CPC mewajibkan penyedia perkhidmatan media sosial berlesen mengintegrasikan ciri keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk platform masing-masing selain menyediakan perlindungan yang sesuai mengikut peringkat umur pengguna.

“Selaras dengan tanggungjawab statutori di bawah ONSA, penyedia perkhidmatan media sosial berlesen perlu melaksanakan sistem pengesahan umur berdasarkan had minimum 16 tahun.

“Pengesahan umur hendaklah dibuat menggunakan dokumen atau rekod rasmi yang dikeluarkan kerajaan, atau rekod setara daripada pihak berkuasa luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan MCMC hari ini.

Dengan pelaksanaan ini, Malaysia menyertai beberapa negara lain seperti Australia dan Indonesia yang telah memperkenalkan kawalan lebih ketat terhadap akses media sosial bagi melindungi pengguna muda.

Bermula hari ini, hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar akaun baharu serta mengakses ciri-ciri platform yang bersesuaian dengan umur mereka.

Bagi pengguna sedia ada pula, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat oleh penyedia platform dalam tempoh sehingga enam bulan.

Pengguna yang dikenal pasti berusia bawah 16 tahun akan diberikan tempoh selama sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data peribadi mereka seperti gambar dan video sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan.

MCMC berkata, keperluan pengesahan umur itu dilaksanakan berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu keselamatan dalam talian dan kesan penggunaan media sosial terhadap perkembangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, MCMC mengingatkan semua penyedia platform media sosial berlesen supaya mematuhi sepenuhnya kewajipan yang ditetapkan di bawah CPC dan ONSA, termasuk melaksanakan sistem pengesahan umur yang berkesan dalam tempoh yang ditetapkan.

“MCMC memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan ini dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.

Selain CPC, RMC turut dikuatkuasakan bagi memastikan penyedia platform mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko kandungan memudaratkan melalui penilaian risiko, penyederhanaan kandungan yang lebih berkesan, kawalan keselamatan pengguna serta peningkatan akauntabiliti platform.

MCMC turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pemain industri, organisasi berkepentingan dan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Soalan-soalan Lazim berkaitan CPC dan RMC boleh dirujuk di

https://mcmc.gov.my/en/onsa/resources/frequently-asked-questions atau https://www.mcmc.gov.my/en/onsa/under-16.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *