PM Umum Bayaran Interim Sabah Dinaikkan Kepada RM1.5 Bilion
PENAMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara menunggu pemuktamadan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada negeri itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI kekal komited untuk melaksanakan tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan kini sedang memperincikan mekanisme terbaik bagi melaksanakannya.
Menurut Anwar, kerajaan telah membuat keputusan dasar bahawa hak 40 peratus tersebut mesti dilaksanakan dan perbincangan yang sedang berlangsung hanya tertumpu kepada kaedah serta formula pelaksanaannya.
“Kerajaan MADANI menetapkan bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah adalah dasar yang wajib dilaksanakan. Perbincangan kini hanya melibatkan mekanisme dan kaedah pelaksanaan yang sesuai,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang dilakukan secara terperinci memandangkan sebarang keputusan berkaitan MA63 turut mempunyai implikasi terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri lain.
Katanya, kerajaan tidak berniat melengah-lengahkan proses tersebut, sebaliknya mahu memastikan setiap keputusan dibuat secara teliti, adil dan bertanggungjawab.
“Kerajaan tidak lagi boleh menggunakan alasan kekangan kewangan untuk menangguhkan pelaksanaan hak Sabah. Keputusan dasar telah dibuat dan yang tinggal hanyalah memuktamadkan formula pelaksanaannya,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, merakamkan penghargaan terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan hak Sabah di bawah MA63.
Beliau pada masa sama berharap kadar pemberian khas berdasarkan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan dapat disemak dan ditingkatkan bagi memperkukuh kedudukan fiskal negeri serta mempercepat pelaksanaan projek pembangunan rakyat.
Sebagai langkah sementara, Anwar berkata kerajaan bersetuju menaikkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion walaupun negara berdepan cabaran ekonomi susulan ketidaktentuan geopolitik global yang memberi kesan kepada harga minyak dan perbelanjaan subsidi.
“Bayaran interim ini bukan penyelesaian muktamad, namun ia mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memenuhi tanggungjawab kepada Sabah sementara proses rundingan diselesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menolak dakwaan bahawa Sabah dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, hasil yang dikutip daripada Sabah pada tahun lalu dianggarkan sekitar RM10 bilion, namun jumlah peruntukan pembangunan dan perbelanjaan yang disalurkan semula ke negeri itu mencecah kira-kira RM17 bilion.
“Ini tidak bermakna hak Sabah boleh diketepikan. Kerajaan tetap komited melaksanakan hak 40 peratus tersebut, namun rakyat juga perlu melihat keseluruhan fakta termasuk bantuan, subsidi dan projek pembangunan yang terus disalurkan kepada negeri ini,” katanya.
