ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

86 Tahun Kedai Kopi Hai Peng Satukan Pelbagai Kaum

CHUKAI – Sebuah kedai kopi yang telah beroperasi lebih lapan dekad di bandar ini bukan sekadar menjadi tempat menikmati secawan kopi, malah menjadi saksi perjalanan sejarah serta lambang perpaduan masyarakat pelbagai kaum sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Kedai Kopi Hai Peng yang mula beroperasi pada 1940 diasaskan Wong Sang Hai dan sejak itu menjadi tumpuan pelanggan daripada pelbagai kaum, sekali gus menjadikannya antara lokasi pertemuan masyarakat di bandar Chukai.

Pemiliknya Richard Wong Tien Loong, 38, berkata kedai kopi berkenaan terus menjadi tempat masyarakat Melayu, Cina dan India duduk semeja sambil menikmati kopi dan pelbagai hidangan tradisional.

Beliau berkata suasana mesra yang menjadi identiti premis berkenaan masih kekal sehingga kini dengan kehadiran pelanggan daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

“Saya gembira kerana kedai kopi yang diasaskan oleh datuk saya 86 tahun lalu masih menjadi tempat pertemuan dan penyatuan masyarakat daripada pelbagai kaum di bandar ini,” katanya ketika ditemui di Kedai Kopi Hai Peng di sini.

Wong mengambil alih pengurusan kedai kopi itu daripada ibu saudaranya pada 2014 dan berkata kesinambungan perniagaan merentas beberapa generasi membolehkan premis berkenaan terus beroperasi serta mengekalkan identitinya sebagai antara kedai kopi paling lama bertahan di Chukai.

Beliau berkata nama Hai Peng yang membawa maksud pesisir pantai dalam bahasa Cina mempunyai kaitan dengan kedudukan Chukai sebagai sebuah bandar berhampiran pantai.

Menurutnya, kedai kopi itu pada asalnya beroperasi dalam bangunan kayu sederhana sebelum diubah suai lebih 30 tahun lalu, namun lokasi dan identitinya masih dikekalkan.

Selain kopi Hainan yang menjadi antara identiti utama premis itu, pelanggan turut menikmati pelbagai hidangan sarapan termasuk roti bakar kaya, telur separuh masak, nasi lemak dan kuih-muih tradisional.

Kopi dan roti bakar antara minuman serta makanan istimewa di Kedai Kopi Hai Peng. – Foto Bernama

Wong berkata kedai kopi berkenaan kini mempunyai 14 pekerja dan kesemuanya terdiri daripada masyarakat Melayu.

Sementara itu, pelanggan Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin, 67, berkata beliau menjadi pelanggan tetap Kedai Kopi Hai Peng sejak 1979 dan berasa gembira melihat premis itu terus menjadi tumpuan masyarakat pelbagai kaum.

Beliau berkata pada awalnya memilih kedai kopi berkenaan sebagai lokasi bersarapan kerana pilihan kedai makan di Chukai ketika itu agak terhad, namun keselesaan dan suasana unik di premis berkenaan membuatkannya terus menjadi pelanggan setia sehingga kini.

“Setiap kali datang ke sini, saya dapat melihat pelanggan daripada pelbagai kaum duduk semeja sambil menikmati hidangan bersama.

“Malah, saya juga sering mengajak rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang bertemu di sini sambil berbincang mengenai pelbagai isu semasa,” kata ahli perniagaan itu.

Mohamed Rahim berkata beliau berharap kedai kopi yang menyimpan pelbagai kenangan dan menjadi sebahagian daripada sejarah perkembangan bandar Chukai itu terus dipelihara serta diwarisi generasi akan datang.

Seorang lagi pelanggan Peter Lau, 64, berkata beliau mula mengunjungi kedai kopi itu sejak berusia lima tahun apabila sering dibawa bapanya bersarapan di situ.

Beliau berkata ketika itu bapanya sering menikmati kopi sambil bertemu rakan-rakan daripada masyarakat Melayu dan India.

“Saya gembira melihat suasana mesra itu kekal sehingga sekarang apabila pelanggan saling bertegur sapa dan bersalaman tanpa mengira bangsa apabila bertemu di kedai kopi ini,” katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026), Peter berkata semangat muhibah yang ditunjukkan pelanggan pelbagai kaum di premis itu mampu menyemarakkan semangat patriotisme serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata suasana sedemikian mencerminkan keharmonian dan sikap saling menghormati yang menjadi antara asas kekuatan masyarakat majmuk di negara ini.

Bagi A. Thevanthiran, 51, dari Kuantan, Pahang, beliau sanggup membawa keluarganya menempuh perjalanan agak jauh untuk bersarapan di kedai kopi berkenaan.

Katanya, selain menikmati makanan dan minuman yang disediakan, beliau turut tertarik dengan suasana premis yang sentiasa dipenuhi pelanggan daripada pelbagai kaum.

“Saya turut menjadikan interaksi antara pelanggan pelbagai kaum di sini sebagai contoh kepada anak-anak mengenai keharmonian masyarakat, khususnya bersempena sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *