Fadhlina Dianugerahkan Darjah Datuk Seri, Ziana Zain Bergelar Datuk
AYER KEROH – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Fadhlina antara 10 penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjah kebesaran itu ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman serta Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Selain itu, Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream PETRONAS, Datuk Seri Sazali Hamzah serta Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin turut menerima D.G.S.M.
Seramai 56 individu pula dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Wira, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri Benut merangkap Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr Mohd Azhar Abd Hamid serta Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Sementara itu, seramai 14 individu menerima Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M.) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Timbalan Speaker Sabah, Datuk Al Hambra Juhar; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Suria Kumar Durairaj Johnson Paul serta Panglima Divisyen Ketiga Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Sani S. Omar.
Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk pula dianugerahkan kepada 189 individu, antaranya Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Azhari Muhiddin; penyanyi kelahiran Merlimau Siti Roziana Zain atau Ziana Zain serta Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.
Selain itu, lima individu ditauliahkan sebagai Jaksa Pendamai (J.P.), manakala 106 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (D.S.M.).
Penganugerahan lain membabitkan 151 penerima Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M.), 244 penerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T.), 386 penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.), 161 penerima Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M.) serta lima penerima Pingat Khidmat Lama (P.K.L.).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh berkata penganugerahan itu mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap individu yang telah memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang serta memainkan peranan dalam pembangunan dan kesejahteraan Melaka.
Beliau berkata Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 diselaraskan bersama semua agensi berkaitan mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan penerima serta tetamu.
“Istiadat akan dijalankan dalam tiga sesi bermula hari ini, diikuti sesi kedua dan ketiga pada Rabu ini,” katanya.
