Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Tampil Pelbagai Kelainan
PUTRAJAYA – Pelbagai kelainan bakal ditampilkan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026, termasuk penyertaan khas Johor Military Forces (JMF) buat julung kali pada acara yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata penyertaan JMF merupakan antara kelainan pada sambutan tahun ini, selain pembabitan kontinjen dan aset pelbagai agensi dalam jumlah yang lebih besar.
“Saya rasa mungkin kelainannya pada tahun ini kita ada termasuk juga pasukan JMF dari Johor. Jadi mereka akan turut serta dengan aset-aset dan pasukan seramai 100 orang.
“Jadi ini salah satu daripada kelainan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik kepada Peserta Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata beberapa aset ketenteraan dan kepolisan akan dipamerkan secara statik di beberapa lokasi bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat aset berkenaan dengan lebih dekat.
Menurutnya, aset terbabit akan ditempatkan di Dataran Floria sepanjang sambutan berlangsung.
“Kalau sebelum ini kebiasaannya untuk menikmati, menyentuh, menaiki aset kita perlu tunggu di tepi jalan, tapi kali ini, bagi tahun ini kita letakkan di satu lokasi.
“Jadi bagi pengunjung mereka boleh datang menikmati, melihat sendiri dengan dekat aset ketenteraan, kepolisian dan sebagainya,” katanya.
Fahmi berkata antara acara yang turut menjadi tumpuan ialah persembahan Human Graphic membabitkan 1,500 pelajar daripada 36 sekolah di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.
Katanya, hari ini merupakan hari pertama latihan peserta di lokasi sebenar sambutan, dengan pelbagai aspek termasuk keselesaan dan persediaan persembahan akan diteliti sebelum acara kemuncak pada 31 Ogos.
Raptai penuh dijadualkan berlangsung pada 28 dan 29 Ogos, manakala 30 Ogos diperuntukkan sebagai hari rehat kepada peserta.
Selain itu, perkhidmatan teksi air secara percuma turut disediakan kepada pengunjung dan merupakan penganjuran kali ketiga perkhidmatan berkenaan sempena sambutan itu.
Mengenai persiapan keseluruhan, Fahmi berkata ia kini telah melebihi 70 peratus dan dijangka mencapai antara 80 hingga 90 peratus dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Mengulas persediaan menghadapi kemungkinan cuaca tidak menentu dan jerebu pada hari sambutan, beliau berkata kementeriannya akan mendapatkan pandangan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.
“Saya sudah mengarahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan pada minggu lalu, isu-isu SOP berkaitan kesihatan perlu kita dapatkan dan kita akan uar-uarkan dalam masa yang terdekat,” katanya.
