ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Bekas Jurulatih Hoki Negara, Sarjit Singh Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR – Bekas ketua pasukan dan jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh, meninggal dunia pada usia 63 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) di sini, malam tadi.

Mendiang yang dilaporkan berdepan masalah kesihatan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 malam.

Pemergian legenda hoki negara itu disahkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

KHM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang mendiang yang pernah menyarung jersi kebangsaan dari 1982 hingga 1993.

“Dedikasi, khidmat dan sumbangan beliau kepada hoki Malaysia, sama ada sebagai pemain mahupun ketua jurulatih, akan sentiasa dikenang.

“Salam takziah yang tulus kepada keluarga dan insan tersayang. Semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi saat sukar ini. Semoga rohnya bersemadi dengan tenang,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang karier sebagai pemain, Sarjit mewakili Malaysia pada dua edisi Sukan Olimpik, iaitu di Los Angeles pada 1984 dan Barcelona pada 1992.

Beliau turut membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1982 di New Delhi dan Sukan Asia 1990 di Beijing.

Selepas bersara sebagai pemain, Sarjit terus menabur bakti dalam arena hoki negara sebagai jurulatih dan pernah membimbing skuad kebangsaan dari 2007 hingga 2008.

Mendiang kemudiannya kembali diberi kepercayaan untuk mengendalikan pasukan kebangsaan bagi tempoh dari Mac 2024 hingga Mac 2026.

Pemergian Sarjit merupakan satu kehilangan besar kepada arena hoki negara, khususnya atas sumbangan dan khidmat beliau sebagai pemain, ketua pasukan serta jurulatih sepanjang penglibatannya dalam sukan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *