MCMC Perkasa Kesedaran Siber Di Sabak Bernam, 300 Peserta Sertai Kempen Internet Selamat
SABAK BERNAM – Kira-kira 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Mini Karnival Kempen Internet Selamat Sabak Bernam yang berlangsung di Balai Raya JPKK Kampung Parit 8, sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap usaha memperkukuh kesedaran keselamatan digital dalam kalangan komuniti setempat.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menghimpunkan pelajar, golongan belia, ibu bapa serta pemimpin komuniti bagi memupuk amalan penggunaan internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim.
Dalam ucapannya, beliau berkata Kempen Internet Selamat memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai ancaman siber, selain membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk semua.
Menurutnya, kempen berkenaan turut memberi pendedahan mengenai risiko seperti judi dalam talian, buli siber, eksploitasi seksual kanak-kanak dan pelbagai bentuk jenayah digital yang semakin membimbangkan.
“Kesedaran terhadap ancaman ini amat penting agar masyarakat lebih bersedia mengambil langkah pencegahan dan tidak mudah menjadi mangsa. Tanggungjawab mewujudkan ruang siber yang selamat perlu dipikul bersama oleh kerajaan, komuniti dan setiap individu.
“Kerajaan akan terus memperkukuh dasar perlindungan pengguna serta memperluaskan program pendidikan digital, namun peranan masyarakat dalam menjaga keselamatan diri dan keluarga ketika berada dalam talian juga amat penting,” katanya.

Sementara itu, MCMC memaklumkan program tersebut merupakan sebahagian daripada siri Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan di seluruh Selangor sebagai usaha berterusan memperluas literasi dan kesedaran keselamatan digital sehingga ke peringkat akar umbi.
Kempen berkenaan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan siber, perlindungan data peribadi, pencegahan penipuan dalam talian, etika penggunaan internet serta tanggungjawab bersama dalam menangani penyebaran maklumat palsu dan kandungan berbahaya.
Bertemakan pendekatan santai dan mesra komuniti, pelbagai aktiviti interaktif diadakan bagi menyampaikan mesej keselamatan digital dengan lebih berkesan, termasuk pertandingan mewarna bertemakan keselamatan internet untuk kanak-kanak, sesi senamrobik komuniti serta pelbagai aktiviti kesedaran dan libat urus bersama peserta.
Bagi memperkukuh penyampaian maklumat di peringkat komuniti, seramai 32,461 ahli NADI daripada 13 pusat NADI di daerah Sabak Bernam akan berperanan sebagai ejen dan duta komuniti yang membantu menyalurkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan serta meningkatkan kesedaran keselamatan digital dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut MCMC, pendekatan berskala komuniti seperti ini membolehkan mesej keselamatan digital disampaikan secara lebih dekat, berkesan dan mudah difahami oleh masyarakat.
Pada masa sama, orang ramai disaran sentiasa berwaspada ketika menggunakan internet dengan melindungi maklumat peribadi, mengelakkan pautan atau tawaran yang mencurigakan serta mendapatkan pengesahan daripada sumber sahih sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat.
