ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Harga Diesel Subsidi Turun RM2.10 Seliter Seluruh Negara Mulai Julai

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter bermula Julai depan menerusi pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi yang baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman itu dalam satu majlis di Bintulu pada semalam.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, penurunan harga tersebut akan dilaksanakan melalui pembaharuan sistem penyasaran subsidi diesel secara seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme pengesahan berasaskan MyKad, sepertimana yang dilaksanakan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menurut kementerian itu, pelaksanaan mekanisme baharu berkenaan membolehkan rakyat Malaysia menikmati harga diesel yang sama serta kaedah pembelian yang seragam di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Subsidi diesel akan disalurkan secara terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara serta pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.

“Melalui pembaharuan ini, harga diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga runcit di Semenanjung Malaysia, sekali gus memastikan subsidi tidak lagi dinikmati oleh bukan warganegara,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan berkata, rakyat Sabah dan Sarawak yang menggunakan kenderaan diesel turut akan menikmati pengurangan harga daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.

Menurutnya, langkah penyasaran subsidi itu penting bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, selain mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi yang semakin membimbangkan.

“Perbezaan besar antara harga diesel bersubsidi dan harga pasaran tanpa subsidi mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan, termasuk ke negara jiran.

“Ketika ini, diesel masih dijual pada harga RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, berbanding harga diesel tanpa subsidi sebanyak RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Tambah kementerian itu, pelaksanaan penyasaran subsidi juga dilihat penting ketika ketidaktentuan bekalan minyak global terus dipengaruhi oleh konflik dan krisis geopolitik di Asia Barat.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Kewangan memaklumkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan mekanisme baharu tersebut akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *