Masjid Sri Sendayan Dinobat Sebagai ‘Global Outstanding Mosque of The Year 2026’
KUALA LUMPUR – Masjid Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan dinobatkan sebagai Global Outstanding Mosque of the Year sempena World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) 2026, hari ini.
Pengiktirafan itu meletakkan masjid berkapasiti 5,000 jemaah berkenaan sebagai contoh institusi yang berjaya menggabungkan keindahan seni bina Islam, penghayatan keimanan dan pembangunan komuniti di peringkat antarabangsa.
Anugerah itu disampaikan kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Sendayan Tan Sri Abdul Rashid Hussain pada majlis WITA 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.
WITA dianjurkan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) bersama Jawatankuasa Penganjur WITA bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam sektor pelancongan Islam dan mesra Muslim.
Menurut penganjur, Masjid Sri Sendayan bukan sekadar tempat ibadah, malah berperanan sebagai simbol keharmonian, ihsan dan kerohanian yang mengalu-alukan jemaah serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
Masjid yang disiapkan pada 2019 itu turut disifatkan sebagai contoh pengurusan masjid moden yang memperkukuh peranannya dalam memberi khidmat kepada komuniti, menyuburkan budaya ilmu serta menampilkan keindahan dan nilai Islam.
“Pengiktirafan ini menegaskan suatu gagasan penting iaitu sebuah masjid boleh kekal teguh berakar pada tujuan sucinya, sambil terus relevan, terbuka dan responsif terhadap komuniti yang dilayaninya,” menurut kenyataan penganjur.
Masjid Sri Sendayan dibangunkan di kawasan seluas lebih empat hektar di tepi tasik dengan reka bentuk yang diinspirasikan seni bina era Abbasiyah serta diperkaya elemen seni bina Mamluk.
Pembinaannya mengambil masa kira-kira empat tahun dengan menggabungkan kepakaran pertukangan tempatan dan antarabangsa serta penggunaan bahan dari beberapa negara termasuk Itali, Dubai, Portugal, Mesir dan India.
Masjid itu turut menampilkan dua menara, kubah utama, gerbang monumental serta kawasan laman dan landskap yang luas.

Jawatankuasa Penganjur WITA turut mengiktiraf masjid berkenaan sebagai mercu tanda keimanan, ilmu, keharmonian dan kecemerlangan, selain berperanan sebagai duta global dalam memperkenalkan nilai-nilai Islam.
Pengiktirafan itu juga mengukuhkan kedudukan Masjid Sri Sendayan sebagai antara tarikan pelancongan berteraskan keagamaan dan mesra Muslim di Malaysia.
Bagi pengunjung antarabangsa, masjid berkenaan bukan sahaja menawarkan keindahan seni bina Islam, malah menjadi ruang untuk mengenali kehidupan masyarakat serta nilai-nilai Islam dalam konteks Malaysia kontemporari.
“Pengiktirafan sebagai Global Outstanding Mosque of the Year meraikan sesuatu yang jauh lebih besar daripada kehebatan sebuah bangunan.
“Ia meraikan sebuah masjid yang megah, suci dan mengalu-alukan pengunjung, berakar teguh pada tradisi dan yakin melangkah ke masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Abdul Rashid berkata kira-kira separuh daripada aktiviti yang dilaksanakan di Masjid Sri Sendayan berteraskan keagamaan, manakala selebihnya memberi tumpuan kepada program pembangunan komuniti, ilmu dan kemahiran.
“Sejak awal, kami mahu Masjid Sri Sendayan berkhidmat untuk agama dan juga komuniti.
“Hari ini, kira-kira 50 peratus aktiviti kami berteraskan keagamaan dan 50 peratus lagi memberi tumpuan kepada komuniti dengan menggabungkan ibadah dan pembelajaran agama dengan program yang membina ilmu, kemahiran serta hubungan lebih erat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata institusi masjid juga perlu memainkan peranan dalam mempersiapkan masyarakat menghadapi perubahan masa depan melalui pendedahan kepada ilmu dan kemahiran kontemporari.
“Pembelajaran perlu berkembang seiring perubahan dunia di sekeliling kita. Atas sebab itu, kami turut memperkenalkan kemahiran dan pengetahuan kontemporari, termasuk pemahaman mengenai kecerdasan buatan atau AI,” katanya.
