NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

5 Maut Kereta Terbabas Langgar Paip Tepi Jalan Di Serian

SERIAN – Lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Baki Lama–Ensengei, dekat sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum merempuh sebatang paip air di tepi jalan.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada seorang lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang bayi perempuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.41 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian segera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai dan tiba pada jam 9.04 pagi.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati sebuah kenderaan mengalami kemalangan kendiri selepas melanggar paip air di tepi jalan.

“Terdapat lima mangsa di dalam kenderaan berkenaan membabitkan seorang lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang bayi perempuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Empat mangsa dewasa didapati tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.

Sementara itu, bayi perempuan berkenaan ditemui orang awam berhampiran lokasi kejadian dan dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan akibat impak pelanggaran yang kuat.

Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya dikawal pada jam 9.20 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.51 pagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *