Wanita PKR: Institusi Raja Jangan Dijadikan Medan Pertarungan Politik
PETALING JAYA – Ketika kemelut berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan terus menjadi perhatian, Wanita PKR menggesa semua pihak supaya tidak menjadikan institusi Raja-Raja Melayu sebagai ruang untuk percaturan politik.
Ketuanya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perbezaan pandangan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, termasuk perkara berkaitan Undang dan adat, perlu diselesaikan mengikut saluran serta tatacara yang sah.
Menurut beliau, Malaysia berdiri atas sistem Raja Berperlembagaan, yang menetapkan peranan, bidang kuasa dan batas bagi setiap institusi dalam negara.
Atas prinsip itu, katanya, kuasa eksekutif tidak seharusnya digunakan untuk mengambil alih peranan yang menjadi bidang institusi lain.
Fadhlina turut mengingatkan bahawa sebarang pertikaian tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak mengambil tindakan di luar bidang kuasa masing-masing.
“Institusi diraja tidak boleh ditarik ke dalam percaturan politik atau dijadikan medan pertarungan kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, perbezaan pandangan sememangnya boleh berlaku, namun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan adat perlu kekal menjadi panduan dalam menyelesaikan perkara berkaitan institusi diraja negeri itu.
Dalam pada itu, Wanita PKR memandang serius perkembangan yang melibatkan tindakan Menteri Besar dan barisan Exco Negeri Sembilan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurut Fadhlina, semua pihak wajar memberi ruang kepada proses yang sah untuk berjalan tanpa memburukkan lagi keadaan.
Beliau turut menegaskan bahawa mempertahankan institusi diraja bukan sepatutnya dilihat sebagai soal keberpihakan politik, sebaliknya tanggungjawab bersama bagi memastikan kedudukan institusi tersebut terus dihormati dalam kerangka Perlembagaan.
Sumber : Berita Harian
Foto : BERNAMA
