Inisiatif Cashless Society Kini Di 174 Lokasi Seluruh Negara – MCMC
KUALA LUMPUR – Inisiatif Cashless Society yang diperkenalkan pada tahun 2023 menerusi 28 Pusat Ekonomi Digital (NADI) terus menunjukkan perkembangan positif apabila diperluaskan ke 174 lokasi di seluruh negara setakat 2025.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, peluasan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa komuniti digital serta menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan masyarakat.
Menurut MCMC, pelaksanaan inisiatif itu kini turut diperkukuh dengan elemen keselamatan siber menerusi Kempen Internet Selamat, selain program pembangunan kapasiti komuniti melalui pendekatan Train-the-Trainer yang melibatkan Pengurus NADI.
“Usaha ini juga memberi penekanan terhadap peningkatan kesedaran orang ramai mengenai risiko jenayah dan penipuan dalam talian, selaras dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA),” katanya dalam satu kenyataan.
MCMC menjelaskan, penggunaan pembayaran tanpa tunai dijadikan sebagai pintu masuk kepada pelbagai perkhidmatan digital yang lebih luas, sejajar dengan peluasan liputan dan peningkatan kualiti internet menerusi pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Langkah itu bertujuan memastikan masyarakat, termasuk yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman, dapat mengakses serta memanfaatkan teknologi digital secara lebih menyeluruh.
Sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, inisiatif Cashless Society berjaya menarik seramai 62,574 pengunjung, merekodkan 26,022 transaksi tanpa tunai serta melibatkan 4,572 pedagang digital baharu yang beroperasi di premis digital.
Dalam tempoh sama, sebanyak 1,348 program dan aktiviti kesedaran berasaskan empat tonggak utama Cashless Society turut dilaksanakan di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC baru-baru ini menganjurkan sesi meja bulat di Cyberjaya yang menghimpunkan wakil agensi Persekutuan dan Negeri, pemain industri serta komuniti bagi membincangkan usaha memperkukuh kepercayaan digital dan memperluaskan pelaksanaan inisiatif tersebut.
Perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada strategi memperkasakan ekosistem digital di Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan, sekali gus menyokong agenda transformasi digital negara secara inklusif dan mampan.
