KUALA LUMPUR – Pelakon Ruhainies meluahkan rasa terkilan apabila namanya diubah menjadi gelaran ‘Ruhanat’ oleh segelintir pengguna media sosial, sehingga panggilan itu terus digunakan sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 34, berkata gelaran berkenaan lebih menyakitkan hati kerana ibu bapanya memberikan nama yang baik dan mempunyai maksud tersendiri.
Menurutnya, beliau tidak mengetahui siapa yang mula-mula mencetuskan panggilan itu. Namun, gelaran tersebut terus menjadi ikutan pengguna lain sehingga hari ini.
Ruhainies turut mendakwa ada pihak menggunakan namanya sebagai umpan clickbait atau rage bait untuk meningkatkan interaksi media sosial, termasuk bagi tujuan menjual produk dan mempromosikan pautan affiliate.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa menyebarkan fitnah kononnya beliau mempunyai hubungan dengan individu kenamaan. Mereka diminta memohon maaf secara terbuka, memadam kenyataan berkenaan dan menghentikan penyebaran tohmahan. Jika tuntutan itu tidak dipenuhi dalam tempoh tujuh hari, beliau berhasrat meneruskan saman ganti rugi sebanyak RM3 juta.
Foto : KOSMO!









