ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Tiada Perkataan ‘Membunuh’ Anjing Dalam Pertuduhan, Peguam Tuntut Mohon Maaf

KLANG – Individu atau pihak yang melabel Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, sebagai kejam dan pembunuh seekor anjing ketika operasi tangkapan anjing liar bulan lalu diminta membuat permohonan maaf.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata pihaknya turut mengenal pasti beberapa individu termasuk pempengaruh yang didakwa membuat hantaran mengaibkan terhadap anak guamnya sehingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan pemuda itu.

Beliau berkata berdasarkan pertuduhan yang dibacakan di mahkamah, tiada istilah “membunuh”, “menyeksa” atau “memukul dengan kuat sehingga menyebabkan kematian” dinyatakan dalam pertuduhan terhadap Muhammad Shah.

“Kita dalam proses, ramai orang sebenarnya yang telah menulis pelbagai perkara mengenai mereka ini daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang duduk dalam Parlimen, sekarang tidak duduk lagi pun ada juga,” katanya pada sidang media di pekarangan Mahkamah Klang di sini hari ini.

Mengulas kemungkinan pihak yang telah membuat permohonan maaf dikecualikan daripada tindakan saman, Muhammad Rafique berkata perkara itu bergantung kepada bentuk dan kandungan permohonan maaf yang dibuat.

Katanya, kenyataan atau tulisan yang dibuat oleh individu terbabit bukan sahaja memberi kesan kepada Muhammad Shah, malah keluarga, rakan-rakan serta penduduk di kawasan berkenaan dari aspek keselamatan.

“Sebab apabila mereka bercakap, membuat kenyataan atau menulis, kesannya bukan kepada diri mereka sebaliknya kepada Shah dan keluarga selain rakan-rakannya malah penduduk kawasan itu dari segi ancaman keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih belum menerima sebarang perkembangan berhubung laporan polis yang dibuat sebelum ini berkaitan ancaman terhadap Muhammad Shah.

Muhammad Rafique turut menjelaskan bahawa anak guamnya bukan kakitangan mana-mana jabatan kerajaan dan tidak bekerja dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), sebaliknya merupakan seorang sukarelawan.

Terdahulu, Muhammad Shah Idham dan wanita yang didakwa sebagai pemilik anjing Rocky, S Roghini Devi, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Shah Idham didakwa secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali gelung (loop) sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan itu.

Roghini pula didakwa secara tidak munasabah menarik anjing sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.

Media sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung kematian seekor anjing ketika operasi tangkapan haiwan berkeliaran di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, pada 29 Julai lalu.

Siasatan susulan kejadian itu dipercayai mempunyai unsur khianat terhadap haiwan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey dilaporkan berkata anjing berkenaan disahkan mati dalam kejadian kira-kira 10.50 malam di hadapan sebuah rumah di lokasi berkenaan.

Bangkai haiwan itu kemudian dihantar ke Jabatan Veterinar Selangor untuk proses bedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *