Pemandu Lori Imigresen Rempuh Mati 3 Sekeluarga Didakwa 5 Pertuduhan
KUALA LUMPUR – Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, di sini semalam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mohd Akbar Zainol, 43, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya sebuah lori jenis Isuzu Black Maria milik JIM sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan, selain gagal mematuhi lampu isyarat di lokasi kejadian.
Mohd Akbar berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, satu pertuduhan di bawah Seksyen 43(1) akta sama kerana menyebabkan kecederaan dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 78(2) kerana gagal mematuhi lampu isyarat.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisya Mohd Razib mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan, selain beberapa syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam Izzat Amir memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam yang telah lama berkhidmat tanpa mempunyai rekod kesalahan serta tidak berisiko melarikan diri.
Beliau berkata tertuduh yang bertugas sebagai pemandu lori turut mempunyai seorang anak yang masih bersekolah dan perlu menyara ibunya yang uzur.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000, iaitu RM12,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai.
Dalam kejadian kira-kira semalam, tiga sekeluarga iaitu seorang bapa dan dua anak perempuannya maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Ismail, manakala isteri mangsa cedera.
