ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Kempen Kesedaran Penipuan Dalam Talian Perlu Diperluas Ke Luar Bandar – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kempen kesedaran mengenai penipuan dalam talian atau scam perlu diperluas hingga ke kawasan terpencil dan akar umbi bagi membendung peningkatan jenayah berkenaan yang semakin membimbangkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata usaha itu perlu melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan penduduk serta komuniti setempat supaya kesedaran mengenai ancaman scam dapat disampaikan secara lebih meluas.

“Walaupun internet sekarang ini 5G, internet murah, internet meluas, tetapi internet belum tentu selamat. Sebab apa yang kita berjaya lakukan ialah menyediakan infrastruktur digital, tetapi ada pihak yang menyalahgunakannya, termasuk penjenayah scam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026, di sini hari ini.

Fahmi berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Ogos lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memohon penurunan 476,516 kandungan dalam talian yang melibatkan pelbagai kategori kesalahan.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 302,139 kandungan berkaitan perjudian dalam talian, manakala 128,312 lagi melibatkan kandungan berunsur penipuan.

“Facebook mencatatkan jumlah tertinggi kandungan penipuan yang diminta diturunkan, iaitu 67,115 kandungan atau 52 peratus, diikuti TikTok dengan 50,642 kandungan,” katanya.

Beliau berkata platform media sosial mempunyai tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan mereka tidak disalahgunakan bagi aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian.

Sehubungan itu, Fahmi memberi amaran bahawa platform yang gagal melindungi pengguna daripada penyalahgunaan berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta.

Beliau turut menasihatkan mangsa penipuan supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997, khususnya dalam tempoh 15 hingga 30 minit selepas kejadian.

Katanya, tindakan segera itu dapat meningkatkan peluang untuk menyekat transaksi dan mendapatkan semula wang yang telah hilang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *