Thaksin Terima Pembebasan Penuh Di Bawah Pengampunan Diraja
BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, bakal dibebaskan sepenuhnya daripada baki hukumannya selepas menerima pengampunan diraja sempena sambutan ulang tahun kelahiran Ratu Suthida pada 3 Jun.
Menteri Kehakiman Thailand, Leftenan Jeneral Polis Rutthapon Naowarat berkata, nama Thaksin tersenarai antara individu yang layak menerima pengampunan tersebut susulan penerbitan Dekri Diraja Pengampunan 2026 dalam Warta Diraja oleh Raja Vajiralongkorn.
Menurut beliau, berdasarkan Seksyen 8 dekri berkenaan, Thaksin akan dibebaskan serta-merta daripada baki hukuman yang masih perlu dijalani kerana tempoh hukumannya berbaki kurang daripada setahun.
“Beliau boleh menanggalkan gelang pemantauan elektronik (EM) dengan segera. Bagaimanapun, beberapa prosedur pentadbiran masih perlu diselesaikan termasuk semakan oleh jawatankuasa wilayah yang berkaitan,” katanya kepada media pada Rabu.
Pengampunan diraja lazimnya diberikan kepada banduan yang memenuhi syarat sempena sambutan kebangsaan dan acara diraja penting, termasuk hari keputeraan anggota keluarga diraja.
Thaksin, 76, sebelum ini dibebaskan secara parol pada 11 Mei selepas menjalani hukuman selama lapan bulan. Jabatan Penjara Thailand memaklumkan pembebasan awal itu dibuat dengan mengambil kira faktor usia, keadaan kesihatan serta tempoh hukuman yang telah dijalani.
Tokoh politik berpengaruh itu kembali ke Thailand pada Ogos 2023 selepas lebih sedekad berada di luar negara. Sekembalinya ke tanah air, beliau dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.
Bagaimanapun, hukuman asal lapan tahun yang dikenakan terhadapnya kemudian dikurangkan kepada satu tahun menerusi pengampunan diraja.
Sepanjang menjalani hukuman, Thaksin ditempatkan di sebuah hospital atas faktor kesihatan, sekali gus mencetuskan perhatian dan perdebatan dalam kalangan masyarakat Thailand.
Beliau pernah memegang jawatan Perdana Menteri Thailand pada 2001 sebelum dipilih semula pada 2005, namun pentadbirannya berakhir selepas digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera.
Dengan pengampunan diraja terbaharu ini, Thaksin kini dibebaskan sepenuhnya daripada baki hukuman yang masih berbaki.
