Spekulasi DUN Bubar: Sidang Media MB Negeri Sembilan Dibatalkan Saat Akhir
SEREMBAN – Sidang media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dijadual berlangsung di Bilik Gerakan Wisma Negeri pada jam 1.30 tengah hari hari ini dibatalkan susulan komitmen rasmi lain yang perlu dihadiri beliau.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah, kepada wakil media yang hadir di Wisma Negeri.
Menurutnya, sidang media berkenaan terpaksa ditangguhkan atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
“YAB Menteri Besar mempunyai urusan rasmi yang penting dan sidang media yang dijadualkan pada petang ini tidak dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, Aminuddin sebelum itu telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga kira-kira 12.30 tengah hari.
Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap selama lebih sejam pada sebelah pagi.
Turut mengiringi beliau ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Walaupun sesi menghadap Tuanku Muhriz merupakan rutin mingguan Menteri Besar setiap hari Rabu, pertemuan kali ini menarik perhatian berikutan spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Perhatian terhadap perkara itu turut diperkukuhkan selepas Aminuddin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar semalam, yang antara lain membincangkan persiapan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
