Tang Jie, Ee Wei Dinobat Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2025
KUALA LUMPUR – Kejayaan mencipta sejarah sebagai juara dunia beregu campuran badminton membolehkan Chen Tang Jie dan pasangannya, Toh Ee Wei masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2025 pada Anugerah Sukan Negara 2025 yang berlangsung hari ini.
Dalam kategori paralimpik pula, jaguh para berbasikal negara, Muhammad Yusof Hafizi Shaharuddin diumumkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2025.
Kejayaan Tang Jie dan Ee Wei muncul beregu campuran pertama negara bergelar juara dunia sekali gus menamatkan penantian Malaysia selama 48 tahun dalam acara itu menjadi faktor utama pemilihan mereka.
Tang Jie menewaskan beberapa pencabar lain termasuk atlet wushu, Si Shin Peng; atlet pencak silat, Khairi Abib Azhar; pemain tenpin boling, Rafiq Ismail serta atlet bina badan, Abdul Aziz Ahmad.
Sementara itu, Ee Wei mengetepikan cabaran atlet wushu, Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee selain atlet boling, Emma Firyana Saroji serta Natasha Mohamed Roslan.
Kemenangan itu turut menyaksikan Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain beregu wanita pertama dalam acara beregu campuran yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.
Pada masa sama, pencapaian pasangan tersebut turut memastikan sukan badminton buat pertama kali menguasai kedua-dua anugerah utama ASN.
Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Anwar Ibrahim yang menyampaikan anugerah kepada para pemenang.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari serta Timbalannya, Mordi Bimol.
Bagi kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, anugerah dimenangi Lim Carmen selepas menewaskan Jariah Zakaria dan K Parameswary.
Dalam kategori berpasukan, Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan muncul pemenang Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan selepas menamatkan kemarau emas selama 34 tahun di Sukan SEA Thailand 2025.
Kejayaan itu turut menyaksikan jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun dipilih sebagai Jurulatih Kebangsaan 2025 mengatasi Rosman Razak (badminton) dan Mohd Fauzi Khalid (silat).
Sebagai penghargaan, semua pemenang kategori utama menerima trofi, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.
