NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Kekal BUDI MADANI Diesel RM300 Sebulan, Interim RM100 Kepada Yang Layak

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan pemberian bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM300 sebulan selain bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keputusan itu dibuat susulan ketidaktentuan harga bahan api global yang memberi kesan kepada kos kehidupan semasa.

Menurut beliau, kerajaan komited meneruskan langkah intervensi bersasar bagi memastikan golongan terkesan terus menerima bantuan sewajarnya.

“Kerajaan akan mengekalkan bantuan BUDI MADANI Diesel sebanyak RM300 sebulan serta bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Krisis Bekalan Global hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara turut bersetuju supaya cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) diteruskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Katanya, penambahbaikan itu melibatkan penyelarasan kuota subsidi diesel secara lebih seimbang bagi memperkukuh kawalan ketirisan tanpa menjejaskan operasi perniagaan serta rantaian bekalan.

“Berdasarkan data MySubsidi setakat 9 April lalu, lebih 398,000 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS melibatkan lebih 375,500 kenderaan pengangkutan darat barangan dan kira-kira 23,000 kenderaan pengangkutan awam,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah turut memaklumkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM300 sehektar mula disalurkan bermula hari ini.

Menurut beliau, bantuan itu penting kerana peningkatan kos bahan api dan operasi pertanian boleh memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan negara.

Katanya lagi, program berkenaan turut diperluaskan ke kawasan desa dan kampung terpilih bagi membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga antara lima hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *