Agong Berkenan Pandu Bot Laju, Selam Tinjau Perairan Mersing
MERSING – Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengemudi sendiri sebuah bot laju bagi meninjau keadaan perairan Mersing.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebersihan pantai, pemuliharaan ekosistem marin dan kelestarian alam sekitar turut berkenan menyelam ke dasar laut sepanjang tinjauan tersebut.
Terdahulu pada sebelah pagi, Sultan Ibrahim turut berkenan mencemar duli menikmati santapan pagi di Midway Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dusun Panti dengan menikmati hidangan lontong.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di hentian rehat berkenaan nyata mengejutkan pengunjung yang sedang bersarapan.
Orang ramai turut mengambil peluang untuk bersalaman serta bergambar bersama Yang di-Pertuan Agong.
Sumber: Facebook Official Sultan Ibrahim
