NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Ebola Diisytihar Darurat Kesihatan Global, KKM Siap Siaga

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkat langkah pemantauan dan kesiapsiagaan susulan pengisytiharan wabak Ebola disebabkan virus Bundibugyo sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 17 Mei lalu.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa setakat ini tiada kes Ebola dikesan di Malaysia, namun langkah berjaga-jaga terus diperkukuh berikutan risiko kemasukan kes melalui perjalanan antarabangsa susulan penularan wabak di Congo dan Uganda.

Menurut kementerian itu, pemantauan turut dijalankan terhadap pengembara yang memasuki Malaysia dari kedua-dua negara berkenaan termasuk mereka yang transit di hab penerbangan antarabangsa seperti Dubai, Doha dan Singapura.

“Ketika ini, tiada penerbangan terus dari Congo dan Uganda ke Malaysia, namun pemantauan serta saringan kesihatan di pintu masuk negara terus dipertingkat bagi tujuan penilaian risiko dan langkah pencegahan awal,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan berdasarkan data WHO setakat 16 Mei lalu, sebanyak lapan kes Ebola disahkan makmal dan 246 kes disyaki direkodkan di Wilayah Ituri, Congo termasuk 80 kematian disyaki.

Di Uganda pula, dua kes disahkan termasuk satu kematian dilaporkan di Kampala membabitkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari Congo.

Menurut KKM, Ebola merupakan penyakit berjangkit serius yang boleh membawa maut dan merebak melalui sentuhan rapat dengan darah atau cecair badan individu serta haiwan yang dijangkiti.

Antara simptom jangkitan termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, muntah, cirit-birit dan dalam sesetengah kes boleh menyebabkan pendarahan.

Bagi memastikan kesiapsiagaan negara berada pada tahap optimum, kementerian itu memaklumkan pelbagai langkah sedang dilaksanakan termasuk memperkukuh sistem survelan di semua pintu masuk antarabangsa, meningkatkan pengesanan awal kes serta memastikan fasiliti kesihatan bersedia untuk pengasingan dan pengurusan kes disyaki.

KKM turut memastikan bekalan alat perlindungan diri (PPE) mencukupi selain meningkatkan latihan kepada petugas kesihatan.

Dalam masa sama, kapasiti diagnostik makmal diperkasakan melalui kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).

Selain itu, koordinasi bersama WHO, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), syarikat penerbangan serta agensi berkaitan turut diperkukuh bagi memantau perkembangan risiko global.

KKM turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terlibat supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit badan, muntah atau pendarahan dalam tempoh 21 hari selepas pulang.

Orang ramai juga digesa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi KKM dan WHO serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *