GSF 2.0: Malaysia Bantah Tindakan Ganas Zionis Tahan 16 Rakyat
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Malaysia telah mengemukakan bantahan keras terhadap tindakan rejim Zionis yang menahan 16 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada lebih 100 aktivis antarabangsa yang terlibat dalam misi aman menuju ke Gaza sebelum kapal yang dinaiki dipintas di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
“Kita sudah membuat bantahan keras,” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri Anugerah Sukan Negara 2025 di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Malaysia, Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, kesemua 16 rakyat Malaysia terbabit berada di atas sembilan kapal yang merupakan sebahagian daripada 15 kapal flotilla yang dipintas dan diceroboh oleh rejim Zionis.
Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah Zainal Rashid Ahmad yang berada di atas kapal Amanda; Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella); Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus); S. Patmanathan, Syakirin Muhamed Senin serta Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar (Ferluto), selain Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang menaiki kapal Josef.
Semalam, Anwar turut mengecam tindakan rejim Zionis yang memintas flotilla bantuan kemanusiaan itu serta menahan lebih 100 aktivis termasuk rakyat Malaysia.
Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar prinsip hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah menunjukkan sikap agresif dan tidak berperikemanusiaan rejim berkenaan terhadap misi bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.
