“Tak Sangka Anak, Menantu Serta Cucu Saya Mangsa Kemalangan Itu” – Bapa
TEMERLOH – Perjalanan pulang tiga sekeluarga selepas menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya, semalam, berakhir tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, dekat sini, malam tadi.
Bapa mangsa, Mohd Kazwan Kassim, 59, berkata anaknya, Nur Atiqah Sofiya, 32, bersama suami dan anak mereka berkunjung ke ibu negara sejak Jumaat lepas bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan.
Menurutnya, anaknya sempat berkongsi gambar kegembiraan mereka sekeluarga ketika menyaksikan perbarisan sambutan berkenaan pagi semalam.
Beliau berkata tidak mengetahui waktu sebenar tiga beranak itu bertolak pulang ke Kuantan.
“Saya pesan kepada semua anak, kalau hendak pergi ke mana-mana jangan maklumkan waktu hendak bertolak, sebaliknya hanya beritahu apabila sudah sampai.
“Jadi, saya tidak tahu bila mereka bertolak dari Putrajaya ke Kuantan. Pagi tadi saya melihat di media sosial mengenai kemalangan di Temerloh dan pada awalnya tidak menyangka anak, menantu serta cucu saya menjadi mangsa.
“Kira-kira 7 pagi, seorang rakan memaklumkan anak saya terbabit dalam kemalangan. Selepas melihat video dan kenderaan berwarna putih dalam nahas itu, saya mengesahkan mereka adalah mangsa,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.50 malam tadi, empat individu maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan.
Mangsa ialah Nur Atiqah Sofiya; suaminya, Muhammad Nazatul Nazmi, 32; serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4.
Turut maut seorang penumpang Honda CR-V, Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, Selangor.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku selepas sebuah lori tangki simen hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain yang bergerak perlahan di lebuh raya berkenaan.
Dalam kejadian itu, pemandu lori tangki berusia 52 tahun dan pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah.
Pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain termasuk 30 penumpang bas ekspres dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Sempat kongsi kesesakan
Sementara itu, abang mangsa, Mohd Hafiz Rifqi Mohd Kazwan, 33, berkata adiknya sempat berkongsi gambar dan video keadaan trafik sesak ketika dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari Putrajaya kira-kira 6 petang semalam.
“Apabila melihat di media sosial malam tadi mengenai kemalangan membabitkan banyak kenderaan di lebuh raya, saya tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa adik, adik ipar dan anak saudara saya,” katanya.
Jenazah tiga beranak itu dituntut waris selepas proses bedah siasat selesai kira-kira 1 tengah hari tadi sebelum dibawa ke Masjid Paya Lusa, di sini, untuk dimandi dan dikafankan.
Kesemua jenazah dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.
