Kanak-Kanak 3 Tahun Maut Terjatuh Lubang Di Jambatan Victoria
SUNGAI SIPUT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter di Jambatan Victoria, Enggor, Kuala Kangsar, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Abdul Rafee Abdul Halim disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar pada 7.40 malam.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama bapanya, 42, sedang berjalan di atas jambatan bersejarah berkenaan.
“Mangsa bersama bapanya berjalan di atas jambatan sambil memegang tangan sebelum terjatuh pada ketinggian kira-kira lima meter menerusi satu lubang pada jambatan berkenaan.
“Selepas terjatuh ke jalan berturap di bawah jambatan, mangsa dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata mangsa bersama keluarganya dari Kluang, Johor, datang bercuti ke Jambatan Victoria, Kuala Kangsar.
Sementara itu, tinjauan hari ini mendapati jambatan ikonik berkenaan ditutup kepada pelancong atas faktor keselamatan, dengan kawasan kejadian dipasang pita larangan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan polis.
Tinjauan turut mendapati keadaan jambatan yang dahulunya digunakan sebagai laluan kereta api itu semakin uzur apabila sebahagian besar bongkah kayu melintang di bawah rel yang menjadi bantalan landasan telah mereput, termasuk di kawasan mangsa terjatuh.
Seorang peniaga gerai berhampiran lokasi yang hanya mahu dikenali sebagai Nyah berkata, suami dan menantunya yang sedang menjaga gerai terdengar bunyi kuat sebelum menyedari seorang kanak-kanak terjatuh dari tempat tinggi.
“Pada mulanya kami menyangka bunyi beg terjatuh, tetapi terkejut apabila mendapati sebenarnya seorang kanak-kanak jatuh dari tempat tinggi.
“Saya juga berada berhampiran, namun menantu dan suami saya yang melihat kanak-kanak itu terjatuh. Suami saya antara individu terawal meluru ke arah mangsa untuk membantu,” katanya.
Nyah berkata Jambatan Victoria sememangnya menjadi tumpuan pelancong, khususnya pada cuti umum, termasuk keluarga yang membawa anak kecil untuk bergambar sebagai kenangan.
