Tak Puas Hati Dengan Laporan Media? Fahmi Cadang Salur Aduan Melalui MMM
SHAH ALAM – Kalau ada yang tidak berpuas hati dengan tajuk atau cara sesuatu berita dilaporkan, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyarankan supaya perkara itu disalurkan melalui saluran aduan rasmi.
Menurut Fahmi, aduan berkaitan etika pelaporan media tempatan boleh dikemukakan kepada Majlis Media Malaysia (MMM), termasuk jika ada perkara dalam laporan yang ingin ditegur.
Katanya, penggunaan saluran yang betul penting bagi mengelakkan salah faham serta tindakan yang boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti industri media.
Saranan itu dibuat susulan isu membabitkan tindakan sebuah akaun media sosial yang didakwa menyunting imej sekumpulan wartawan dan jurugambar kepada imej haiwan ketika mereka membuat liputan kunjungan Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara.
Kelab Media Putrajaya sebelum ini membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung perkara berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata MCMC telah mengenal pasti beberapa akaun media sosial yang menyebarkan kandungan jelik melampau, termasuk kandungan yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyunting imej berkaitan Tun Dr Mahathir ketika pemergian Tun Dr Siti Hasmah.
Beliau berkata MCMC bersama polis sedang menjejaki pihak yang menghasilkan kandungan berkenaan, manakala beberapa akaun terbabit dilihat sudah tidak lagi wujud.
Fahmi pada masa sama mengingatkan pengamal media supaya memberi ruang dan menghormati permintaan keluarga ketika mereka sedang melalui tempoh berduka.
Sumber : BERNAMA
