Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Ke-12 Di Melaka Tak Sah, Tidak Diiktiraf
SEREMBAN – Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang diadakan di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada Jumaat lalu disifatkan tidak sah serta tidak mempunyai sebarang pengiktirafan dari sudut Perlembagaan, undang-undang mahupun adat istiadat Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, sebarang gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diambil atau digunakan oleh Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar tidak mempunyai kuasa dan tidak diiktiraf oleh pihak istana.
Menurut beliau, majlis yang dinamakan sebagai Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada 5 Jun lalu itu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan serta adat istiadat diraja yang berkuat kuasa.
“Majlis berkenaan adalah tidak sah dan tidak diiktiraf. Oleh itu, sebarang gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba digunakan oleh Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar tidak mempunyai sebarang kesan atau kuasa perundangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Tunku Nadzaruddin telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Alor Gajah.
Pemasyhuran itu diumumkan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat dalam satu majlis ringkas.
Dalam pada itu, Azizi menjelaskan bahawa tindakan Tunku Nadzaruddin menerima gelaran yang disifatkan tidak sah itu secara automatik menyebabkan beliau kehilangan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandang.
“Dengan penerimaan gelaran yang tidak sah tersebut, Tunku Nadzaruddin dengan sendirinya telah melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan.
“Susulan itu, jawatan sebagai Tunku Panglima Besar, Putera Yang Empat Negeri Sembilan kini tidak mempunyai penyandang,” katanya.
