ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Super El Nino: Suhu Di Malaysia Boleh Cecah 39 – 40 Darjah Celcius

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan suhu di beberapa kawasan negara ini berpotensi mencecah antara 39 hingga 40 darjah Celsius sekiranya fenomena El Nino berkembang seperti yang diramalkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang berkata, kawasan yang dijangka paling terkesan ialah bahagian utara dan pedalaman Semenanjung berdasarkan analisis rekod suhu maksimum yang pernah dicatatkan ketika episod El Nino kuat sebelum ini.

Menurut beliau, antara rekod suhu tertinggi negara ialah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998 yang sehingga kini kekal sebagai antara bacaan tertinggi pernah direkodkan di Malaysia.

“Selain itu, suhu 39.3 darjah Celsius direkodkan di Pahang pada 10 April 2016, manakala 39.1 darjah Celsius dicatatkan di Alor Setar, Kedah pada 18 Mac 2019, yang turut berlaku ketika negara dipengaruhi fenomena El Nino.

“Rekod-rekod ini menunjukkan suhu tertinggi di Malaysia lazimnya berlaku semasa episod El Nino yang kuat,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan corak sejarah tersebut, MetMalaysia menjangkakan suhu sekitar 39 hingga 40 darjah Celsius berpotensi direkodkan di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung sekiranya ramalan model iklim semasa menjadi kenyataan.

Ambun bagaimanapun menjelaskan kedudukan Malaysia sebagai negara tropika yang dikelilingi lautan membantu mengurangkan impak cuaca panas melampau berbanding negara beriklim sederhana atau kontinental.

“Walaupun El Nino kuat berlaku, kesannya di Malaysia berbeza berbanding negara lain seperti di Eropah.

“Kita tidak menjangkakan suhu meningkat sehingga 45 darjah Celsius seperti yang berlaku di Eropah ketika ini kerana kelembapan udara di negara kita masih tinggi.

“Sumber kelembapan dari Laut China Selatan, Selat Melaka dan kawasan perairan sekitar turut membantu mengimbangi peningkatan suhu dengan mengekalkan pembentukan awan dan hujan dalam keadaan tertentu,” katanya.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan negara mengalami episod cuaca panas yang lebih berpanjangan sekiranya El Nino mencapai tahap lebih kuat, khususnya ketika kemuncaknya yang lazim berlaku pada awal tahun depan.

Menurutnya, berdasarkan rekod terdahulu, suhu tinggi di Malaysia lazimnya berlaku antara Mac hingga April ketika episod El Nino kuat.

Sehubungan itu, MetMalaysia menegaskan jangkaan suhu antara 39 hingga 40 darjah Celsius bukan sesuatu yang luar biasa berdasarkan sejarah cuaca negara, namun situasi itu tetap memerlukan perhatian kerana berpotensi memberi kesan kepada kesihatan awam, bekalan air dan sektor ekonomi sekiranya berlarutan.

MetMalaysia berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan fenomena El Nino dan mengemas kini ramalan cuaca dari semasa ke semasa berdasarkan perubahan keadaan atmosfera dan lautan di rantau ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *