Sarawak Layak Terima Interim Khas Seperti Sabah – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan Sarawak layak menerima bayaran interim khas seperti yang dinikmati Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan kini sedang memuktamadkan rundingan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berhubung pemberian berkenaan.
Menurutnya, rundingan tersebut akan diteruskan dan kerajaan mengakui jumlah bayaran interim khas kepada Sarawak wajar dipertingkatkan sejajar dengan pelaksanaan MA63.
“Kita masih meneruskan rundingan dengan Sarawak, dengan proses terkini diadakan di Bintulu dan Kuching.
“Memang kita tidak umumkan (hasil rundingan) kerana mahu memberi tumpuan kepada RM1.8 bilion yang julung kalinya diberikan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai kelayakan Sarawak menerima bayaran interim khas seperti Sabah.
Anwar berkata, proses rundingan melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebelum dibawa ke peringkat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Katanya, keputusan berhubung bayaran interim khas itu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas rundingan teknikal selesai.
“Bayaran interim khas ini akan diluluskan dalam masa terdekat dan rundingan sudah diadakan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak,” katanya.
