Suami Tikam Isteri 13 Kali Hingga Maut Akibat Cemburu
KULIM – Seorang wanita maut dipercayai ditikam suaminya sebanyak 13 kali menggunakan pisau lipat dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata suspek berusia 43 tahun hadir ke Balai Polis Lunas kira-kira 8.40 malam dan memaklumkan bahawa dia telah menikam isterinya yang berusia 39 tahun di rumah mereka.
Beliau berkata suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Tempat kejadian adalah rumah teres setingkat dan kejadian berlaku dalam bilik tidur utama yang didiami suspek, mangsa serta anak mereka berusia tiga tahun.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan di atas katil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syamsul berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara suspek dan mangsa berkaitan isu cemburu.
Katanya, suspek mengaku menikam mangsa sebanyak 13 kali, masing-masing tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan menggunakan pisau lipat.
“Selepas kejadian, suspek kemudian mandi dan mengambil anaknya daripada pengasuh sebelum menyerahkannya kepada kakaknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Pulau Pinang.
“Suspek turut memaklumkan kepada kakaknya bahawa dia telah menikam isterinya sebelum pergi ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri,” katanya.
Syamsul berkata mangsa dibawa keluarganya ke Hospital Kulim dan disahkan meninggal dunia pada 9.30 malam tadi.
Beliau berkata suspek ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di Balai Polis Lunas kira-kira 9 malam tadi.
“Sebilah pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter dirampas sebagai barang kes. Hasil temu bual awal dengan jiran mendapati mereka tidak mendengar sebarang pertengkaran, dipercayai disebabkan hujan lebat ketika kejadian.
“Suspek yang berasal dari Parit Buntar, Perak merupakan penganggur. Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.
Syamsul berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
