Anwar Diberi Sambutan Rasmi Penuh Istiadat Di Maldives
MALÉ – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima sambutan rasmi penuh istiadat di sini, menandakan bermulanya program rasmi beliau sempena lawatan dua hari ke Maldives.
Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Jeti Presiden, Jeti Izzudheen pada 9.29 pagi waktu tempatan (12.29 tengah hari waktu Malaysia) dan disambut Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu.
Ketibaan beliau turut diserikan persembahan tarian kebudayaan oleh murid sekolah.
Anwar diiringi Menteri Hal Ehwal Islam Maldives, Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed selaku menteri pengiring sepanjang lawatan itu.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam.
Anwar kemudian diiringi ke pentas utama untuk menerima tabik hormat daripada Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF), diikuti 21 das tembakan meriam.
Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, kemudian dimainkan, disusuli lagu kebangsaan Maldives sebelum Perdana Menteri memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota MNDF.
Beliau seterusnya kembali ke pentas utama untuk menerima tabik hormat kedua sebelum Anwar dan Muizzu diperkenalkan kepada anggota delegasi masing-masing.
Kedua-dua pemimpin kemudian berjalan kira-kira 150 meter dari Dataran Republik ke Pejabat Presiden dalam perarakan kebudayaan yang diiringi paluan gendang serta peserta yang mengenakan pakaian tradisional Maldives.
Di Pejabat Presiden, Anwar dan Muizzu dijadual mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Maldives.
Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Mereka juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) sebelum mengadakan sidang media bersama.
Lawatan itu mencerminkan komitmen Malaysia dan Maldives untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 1968, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan serta hubungan antara rakyat.
