Saintis China Cipta Bateri Nuklear Kompak Mampu Bekal Tenaga Ribuan Tahun
BEIJING – Sekumpulan saintis di China membangunkan bateri nuklear kompak yang mampu membekalkan tenaga secara berterusan selama ribuan tahun, sekali gus berpotensi membuka lembaran baharu dalam bidang aeroangkasa, perubatan dan teknologi tenaga.
Menurut laporan media tempatan, bateri itu dijana menggunakan isotop karbon-14 yang mempunyai separuh hayat kira-kira 5,730 tahun, membolehkannya menghasilkan bekalan tenaga untuk tempoh yang sangat panjang tanpa memerlukan pengecasan semula.
Teknologi dikenali sebagai Qianjiyuan Tianshu itu dibangunkan menerusi kerjasama antara Universiti Northwest Normal dan Gansu Zhulong Technology.
Pembangunannya dijangka dapat mengurangkan kebergantungan peranti kritikal terhadap bateri konvensional yang memerlukan penggantian atau pengecasan secara berkala.
Bateri berisipadu 16.8 sentimeter padu itu menggabungkan isotop karbon-14 dengan bahan semikonduktor silikon karbida bagi menjana tenaga elektrik.
Sistem berkenaan menggunakan zarah beta yang terhasil daripada pereputan radioaktif karbon-14 untuk merangsang penghasilan elektron dalam silikon karbida, sekali gus menghasilkan arus litar pintas sebanyak 0.713 mikroampere (µA) dan voltan litar terbuka 2.06 volt.
Qianjiyuan Tianshu merupakan versi yang dipertingkatkan daripada prototaip Zhulong-1, yang diperkenalkan pada November 2024.
Sebelum ini, teknologi bateri nuklear digunakan terutamanya dalam misi angkasa lepas jarak jauh, termasuk prob Voyager 1 dan Voyager 2 milik Amerika Syarikat, selain turut diaplikasikan dalam beberapa misi penerokaan bulan China.
Saiz bateri generasi baharu yang lebih kecil dijangka membolehkan teknologi itu digunakan secara lebih meluas, termasuk dalam sektor komersial.
Penyelidik melihat potensi penggunaannya dalam bidang perubatan, khususnya bagi implan seperti alat perentak jantung yang tidak lagi memerlukan pembedahan berulang untuk menggantikan bateri.
Selain itu, bateri berkenaan turut berpotensi digunakan bagi operasi pemantauan jangka panjang di laut dalam, stesen penyelidikan di kawasan kutub, sistem pertahanan serta pelbagai aplikasi aeroangkasa yang memerlukan bekalan kuasa berterusan.
