ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Manchester United Dedah Lokasi Stadium Baharu 100,000 Tempat Duduk

MANCHESTER – Manchester United pada Khamis mengumumkan lokasi rasmi pembinaan stadium baharu berkapasiti 100,000 tempat duduk yang bakal menjadi gelanggang utama kelab itu pada masa hadapan.

Menurut kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, stadium bernilai kira-kira £2 bilion (RM11 bilion) berkenaan akan dibina di atas tapak seluas 25 ekar, kira-kira 350 meter di barat laut Stadium Old Trafford.

Tapak pembangunan itu terletak di antara Wharfside Way, Europa Way dan John Gilbert Way, berhampiran Terusan Bridgewater serta landasan kereta api.

Pengumuman itu dibuat selepas Manchester United berjaya memuktamadkan pembelian tanah berkenaan daripada syarikat hartanah industri, Indurent.

Urus niaga tersebut sekali gus menyelesaikan isu pengambilalihan terminal kargo Freightliner yang sebelum ini dikenal pasti sebagai antara halangan utama kepada pelaksanaan projek berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Stadium Baharu Manchester United, Collette Roche berkata pemilihan lokasi bersebelahan Old Trafford membolehkan kelab mengekalkan tradisi dan pengalaman hari perlawanan yang sinonim dengan penyokong.

Beliau berkata lokasi itu juga membolehkan Manchester United terus menggunakan Old Trafford sebagai gelanggang rasmi sepanjang tempoh pembinaan stadium baharu tanpa menjejaskan jadual pertandingan domestik dan Eropah.

Stadium baharu itu direka oleh firma seni bina Foster + Partners dan menjadi komponen utama projek pembangunan semula kawasan Trafford Wharfside.

Projek pembangunan bercampur seluas kira-kira 150 hektar itu dijangka menyumbang sekitar £7.3 bilion setahun kepada ekonomi United Kingdom, selain mewujudkan lebih 48,000 peluang pekerjaan serta menyediakan kira-kira 15,000 unit kediaman.

Mengenai masa depan Old Trafford yang berusia 116 tahun, kelab itu memaklumkan belum membuat keputusan sama ada stadium bersejarah itu akan dirobohkan atau dikekalkan dengan kapasiti lebih kecil untuk kegunaan pasukan wanita dan akademi.

Apabila siap kelak, stadium baharu Manchester United akan menjadi stadium sukan terbesar di United Kingdom, mengatasi kapasiti Stadium Wembley yang mampu memuatkan 90,000 penonton.

Ia juga dijangka muncul sebagai stadium kelab kedua terbesar di Eropah selepas Spotify Camp Nou milik Barcelona.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *