NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Polis Kesan ‘Piu Piu’ Dadah Sintetik Baharu Dicampur Dalam Cecair Vape

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi menegaskan pendirian menyokong pengharaman vape secara menyeluruh susulan pengesanan dadah sintetik baharu dikenali sebagai “Piu Piu” yang dipercayai dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bahan berkenaan mengandungi campuran Fentanyl serta bahan psikoaktif baharu (New Psychoactive Substances – NPS) yang mampu menyebabkan kesan khayal melampau sehingga pengguna berada dalam keadaan seakan-akan “zombie”.

Menurut beliau, penggunaan vape ketika ini tidak lagi tertumpu kepada tujuan asal, sebaliknya semakin disalahgunakan oleh sindiket dadah sebagai medium pengedaran bahan terlarang.

“Isunya bukan sama ada vape memberi peluang perniagaan kepada pihak tertentu atau sebaliknya. Apa yang lebih membimbangkan ialah penyalahgunaan peranti ini dengan campuran dadah sintetik yang berbahaya.

“Vape kini menjadi satu trend dalam kalangan remaja. Jika tidak dibendung dari peringkat awal, kesannya boleh menjadi lebih serius.

“Banyak negara sudah mengambil langkah mengharamkan vape dan Malaysia juga perlu mempunyai iltizam politik yang jelas untuk menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Lawatan Hospital sempena Hari Polis ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), di ibu negara pada Khamis.

Ayob Khan menjelaskan, PDRM tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan penuh terhadap vape kerana perkara itu turut melibatkan bidang kuasa kementerian dan agensi lain, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus memperhebat operasi dan pemantauan terhadap penjualan vape bagi mengekang penyebaran bahan terlarang tersebut.

“JSJN akan meneruskan operasi secara berterusan termasuk pemeriksaan terhadap premis-premis yang menjual vape bagi memastikan ia tidak dijadikan medium pengedaran dadah,” katanya.

Sebelum ini, JSJN dilaporkan menahan enam lelaki termasuk pembekal vape yang disyaki mengandungi dadah selepas beberapa rakaman video tular memaparkan individu berada dalam keadaan khayal ketika menghisap vape.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan bahawa penyalahgunaan vape boleh menjadi faktor yang menormalisasikan penggunaan bahan terlarang dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat vape yang dicampur dengan bahan berbahaya atau dadah sintetik yang boleh mengancam kesihatan dan keselamatan pengguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *