NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Tunku Zain Al-’Abidin Dimasyhurkan Sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Putera kedua Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Tunku Zain Al-‘Abidin, dimasyhurkan sebagai penyandang baharu Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.

Pemasyhuran itu disempurnakan oleh Tuanku Muhriz dalam Istiadat Pengurniaan dan Perisytiharan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, pada Khamis.

Istiadat berkenaan berlangsung mengikut adat istiadat Diraja Negeri Sembilan dengan keberangkatan masuk Tuanku Muhriz bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, diiringi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, sebelum Lagu Kebesaran Negeri Sembilan dimainkan.

Majlis kemudian diteruskan dengan Orang Empat Istana memohon perkenan untuk memulakan istiadat sebelum Tunku Zain dipersilakan menghadap bagi menerima watikah pelantikan sebagai Tunku Panglima Besar.

Turut hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama isteri, selain pemimpin adat dan masyarakat negeri.

Tunku Zain, 44, dikenali sebagai tokoh yang aktif dalam bidang pendidikan, pembangunan belia dan dasar awam. Beliau kini merupakan Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Presiden Kolej ICAN.

Beliau juga merupakan pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), sebuah badan pemikir yang memberi tumpuan kepada isu tadbir urus, dasar awam dan reformasi institusi.

Graduan London School of Economics and Political Science (LSE) itu pernah berkhidmat dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Selain itu, beliau turut mengasaskan IDEAS Autism Centre yang kini mengendalikan pusat di Rawang, Nilai dan Port Dickson serta IDEAS International Secondary School yang mempunyai kampus di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Tunku Zain juga aktif dalam pelbagai inisiatif berkaitan kebudayaan, penulisan dan pembangunan sukan di Negeri Sembilan.

Pemasyhuran beliau dibuat susulan kekosongan jawatan Tunku Panglima Besar selepas penyandang terdahulu, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, tidak lagi memegang gelaran tersebut.

Pada 9 Jun lalu, Istana Besar Seri Menanti memaklumkan bahawa Tunku Nadzaruddin telah melepaskan gelaran berkenaan susulan tindakannya menerima pengisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun lalu.

Menurut kenyataan istana, pengisytiharan tersebut tidak sah serta tidak diiktiraf di bawah Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan, sekali gus menyebabkan gelaran Tunku Panglima Besar yang disandang beliau menjadi kosong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *