ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

PRN N9: BN Hanya Umum 25 Calon, Selebihnya Sedang Dirunding Dengan ‘Rakan’

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) malam tadi mengumumkan 25 daripada keseluruhan 36 calon yang akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Pengumuman Calon BN di Seremban.

Beliau berkata, baki 11 calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan dalam masa terdekat selepas dimuktamadkan.

Kerusi yang masih belum diumumkan ialah DUN Klawang, Serting, Lobak, Sikamat, Ampangan, Bukit Kepayang, Mambau, Paroi, Lukut, Bagan Pinang dan Gemas.

Menurut Mohamad, BN akan membuat beberapa pengumuman tambahan kerana gabungan itu menjalin persefahaman dengan rakan politik tertentu pada PRN kali ini.

“Seperti yang disebut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan ada pengumuman lain kerana kita memasuki PRN ini dengan membuat persefahaman bersama rakan.

“Tetapi jangan risau, kita bukan buat persefahaman di Linggi. Kita buat persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai, insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan PAS bersedia menerima calon Menteri Besar daripada UMNO sekiranya kerjasama politik antara kedua-dua parti dimuktamadkan.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata rundingan berkaitan pembahagian kerusi DUN berlangsung dalam suasana yang positif.

Bagaimanapun, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang perjanjian dimeterai antara UMNO dan PAS berhubung PRN Negeri Sembilan.

Beliau turut mengesahkan UMNO tidak pernah memuktamadkan sebarang rundingan dengan PAS, termasuk berkaitan agihan kerusi.

Senarai 25 calon BN yang diumumkan:

  • N01 Chennah – Siow Kong Choon (MCA)
  • N02 Pertang – Datuk Seri Jalaluddin Alias (UMNO) – Penyandang
  • N03 Sungai Lui – Datuk Mohd Razi Mohd Ali (UMNO) – Penyandang
  • N06 Palong – Datuk Mustapha Nagoor (UMNO) – Penyandang
  • N07 Jeram Padang – Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (UMNO) – Penyandang
  • N08 Bahau – Ah Chong Fui Ming (MCA)
  • N09 Lenggeng – Datuk Mohd Asna Amin (UMNO) – Penyandang
  • N10 Nilai – Lai Chien Kong (MCA)
  • N12 Temiang – Leaw Kok Chan (MCA)
  • N15 Juasseh – Datuk Ismail Lasim (UMNO) – Penyandang
  • N16 Seri Menanti – Muhammad Sufian Maradzi (UMNO) – Penyandang
  • N17 Senaling – Mohamad Qayyum Abd Jalil (UMNO) – Muka baharu
  • N18 Pilah – Lisa Mat Yassin (UMNO)
  • N19 Johol – Datuk Saiful Yazan Sulaiman (UMNO) – Penyandang
  • N20 Labu – Siti Nur Umairah Hashim (UMNO)
  • N22 Rahang – Yap Siok Moy (MCA)
  • N24 Seremban Jaya – T. Rajagopalu (MIC)
  • N26 Chembong – Datuk Zaifulbahri (UMNO) – Penyandang
  • N27 Rantau – Datuk Seri Mohamad Hasan (UMNO) – Penyandang
  • N28 Kota – Suhaimi Aini (UMNO) – Penyandang
  • N29 Chuah – Pau Juoy Chin (MCA)
  • N32 Linggi – Datuk Mohd Faizal Ramli (UMNO) – Penyandang
  • N33 Sri Tanjung – A. Achutan (MIC)
  • N34 Gemencheh – Suhaimizan Bizar (UMNO) – Penyandang
  • N36 Repah – Koh Kim Swee (MCA)

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *