KWAP Diperdaya Pelaburan Hampir RM200 Juta Dalam eFishery – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, adalah berpunca daripada penipuan terancang serta manipulasi laporan kewangan yang dilakukan pihak pengurusan syarikat berkenaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan pelaburan itu dibuat berdasarkan proses penilaian dan tadbir urus yang sewajarnya dengan mengambil kira maklumat yang tersedia ketika itu, termasuk penyata kewangan yang telah disahkan oleh juruaudit antarabangsa bertauliah.
Menurut beliau, konsortium pelabur yang disertai KWAP turut melaksanakan proses usaha wajar (due diligence) secara bebas bagi memastikan semua maklumat yang diterima lengkap dan sahih sebelum keputusan pelaburan dibuat.
“Pelaburan dalam eFishery turut disertai beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa yang terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.
“Kesemua pelabur ini juga mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus pelaburan yang memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta kerajaan menjelaskan bentuk pertanggungjawaban serta tindakan akauntabiliti yang telah atau akan diambil terhadap Ahli Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP susulan kerugian besar akibat pelaburan tersebut.
Anwar berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil beberapa langkah susulan, antaranya tindakan undang-undang, usaha mendapatkan semula dana, semakan terhadap tatakelola dalaman serta memperkukuh mekanisme kawalan pelaburan.
Menurut beliau, KWAP juga telah menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan dalam eFishery sebelum hasil semakan itu dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian lanjut.
“Susulan perbincangan tersebut, tindakan susulan telah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus serta prinsip akauntabiliti institusi.
“KWAP kekal komited mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti. Langkah penambahbaikan turut dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan pada masa hadapan,” katanya.
KWAP sebelum ini dilaporkan melabur sebanyak AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam eFishery pada Julai 2023.
Syarikat pemula niaga itu dipromosikan sebagai syarikat teknologi akuakultur yang menawarkan penyelesaian moden bagi industri penternakan ikan dan udang.
Bagaimanapun, tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia selepas disabitkan bersalah atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
