Penganjuran MAHA 2026 Komitmen Kerajaan Martabatkan Sektor Pertanian Negara
SERDANG – Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan sektor pertanian negara, sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sektor pertanian kekal sebagai antara fokus utama kerajaan dan peruntukan bagi sektor berkenaan perlu terus dipertingkatkan selaras dengan pencapaiannya yang semakin membanggakan.
Beliau berkata perkembangan sektor pertanian negara dapat dilihat menerusi peningkatan pengeluaran dan eksport komoditi seperti nanas serta bawang yang sebelum ini berada pada tahap rendah.
“Dulu jumlah eksport nanas kecil tetapi sekarang jumlahnya sudah besar. Jumlah pengeluaran bawang dulu hampir tidak ada, sekarang dah berkembang.
“Ini menggambarkan pertanian masa kini sudah moden, hubungan antarabangsa daripada import, eksport dan perdagangan meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.
Anwar berkata beliau berbangga dengan kejayaan penganjuran MAHA yang kini memasuki lebih lima dekad, selain menyifatkan MAHA 2026 sebagai antara penganjuran terbaik dalam sejarah program berkenaan.
“Oleh itu, saya berasa bangga bersama-sama dalam Majlis Penutup MAHA ini. Satu deretan program MAHA yang sudah menjangkau lebih lima dekad. Ternyata MAHA 2026 dengan pasukan hebat tahun ini mencatat kemajuan tinggi dalam sejarah,” katanya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan MAHA 2026, termasuk petani, peladang, nelayan, pengusaha industri pertanian serta rakyat.
Beliau berkata penglibatan semua pihak penting dalam memastikan sektor pertanian terus berkembang dan mampu menyumbang kepada ekonomi serta keterjaminan makanan negara.
