Negara Perlu Lebih Ramai Bakat STEM Ke Arah Bina Malaysia Lebih Berdaya Tahan – PM
SHAH ALAM – Malaysia memerlukan lebih ramai bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi membina masa depan negara yang lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia perlu terus memperkukuh ekosistem yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang melalui institusi pengajian tinggi, penyelidikan, industri dan syarikat pemula niaga.
“Kita mahu idea yang lahir di sekolah hari ini berkembang menjadi penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat serta mengangkat daya saing Malaysia di peringkat dunia.
“Sebab itu, Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) tidak seharusnya berakhir apabila piala disampaikan. Saya mahu bakat yang dikenal pasti melalui platform seperti ini terus dibangunkan dan diberikan laluan untuk pergi lebih jauh,” katanya dalam ucapan sempena Peringkat Akhir NSC 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.
Anwar turut menggesa MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM), bersama Kementerian Pendidikan serta rakan strategik, menjadikan NSC sebagai laluan pembangunan bakat secara berterusan dan bukan sekadar acara tahunan.
Beliau berkata Malaysia tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu menjadi negara yang mencipta, memiliki dan menguasai teknologi.
Katanya, perkara itu semakin penting ketika negara berdepan pelbagai cabaran termasuk keterjaminan makanan, bekalan tenaga, kesihatan awam, keselamatan air, perubahan iklim serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.
Anwar berkata pendidikan sains tidak seharusnya tertumpu kepada hafalan formula dan pencapaian peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu membentuk pemikiran kritikal terhadap fakta, keterbukaan kepada idea, keberanian mencuba serta kejujuran apabila sesuatu percubaan tidak berjaya.
Beliau berkata usaha memperkukuh pendidikan STEM perlu menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, sekolah, universiti, industri dan komuniti bagi memastikan bakat muda bukan sahaja dikenal pasti, malah terus dibimbing serta diberikan ruang untuk berkembang.
Anwar berkata data Kementerian Pendidikan menunjukkan enrolmen murid dalam STEM meningkat kepada 50.83 peratus pada 2024 berbanding 40.95 peratus pada 2021, namun penyertaan dalam bidang sains tulen masih sekitar 15.8 peratus.
“Ini menunjukkan masih terdapat jurang antara minat terhadap STEM dengan kesediaan untuk mendalaminya,” katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata usaha negara perlu beralih daripada sekadar menggalakkan lebih ramai pelajar memilih STEM kepada memastikan mereka terus bertahan, berkembang dan berjaya dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata guru memainkan peranan penting sebagai pencetus rasa ingin tahu dan pembina keyakinan dalam kalangan generasi muda.
Anwar turut menggesa supaya peserta berpotensi, khususnya dari luar bandar Sabah dan Sarawak serta keluarga berpendapatan rendah, terus dihubungkan dengan mentor, makmal, biasiswa dan rangkaian inovasi.
