Pemandu E-Hailing Cedera Diserang 4 Remaja Tak Mampu Bayar Tambang
ALOR GAJAH – Seorang pemandu e-hailing wanita berdepan detik cemas apabila dipercayai dijerut dan dipukul oleh empat remaja, termasuk dua remaja perempuan, dalam kejadian di Kuala Sungai Baru, Khamis lalu.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 41 tahun mengalami kecederaan berupa lebam, bengkak pada beberapa anggota badan serta kesan jerutan di leher akibat diserang suspek.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati mangsa menerima tempahan Grab untuk mengambil kesemua suspek di kawasan Bukit Rambai sebelum menghantar mereka ke pekan Kuala Sungai Baru.
Menurut beliau, kumpulan suspek terdiri daripada dua remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun serta dua remaja perempuan masing-masing berusia 14 tahun.
“Apabila tiba di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang dan mendakwa tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran secara dalam talian.
“Tidak lama kemudian, tiga suspek iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun bersama dua remaja perempuan bertindak menyerang mangsa secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan keterangan mangsa, remaja lelaki terbabit dipercayai menjerut leher mangsa dari arah belakang manakala dua remaja perempuan memukul wanita itu menggunakan batang besi selain menarik rambutnya.
Katanya lagi, suspek turut mengugut mangsa agar tidak mendapatkan bantuan, manakala seorang lagi remaja lelaki dilaporkan melarikan diri dan tidak berada di dalam kereta ketika kejadian berlaku.
“Mangsa akhirnya berjaya menyelamatkan diri dengan memandu keluar dari lokasi kejadian sebelum tampil membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di hospital,” ujarnya.
Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian hidung, leher serta kedua-dua tangan akibat pergelutan tersebut.
Menurut Ahmad, siasatan lanjut mendapati kenderaan mangsa berhenti sebanyak dua kali sepanjang perjalanan dan suspek turut mengarahkan laluan yang sama dilalui berulang kali.
Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau objek berbahaya.
