NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Dunia

Indonesia Sahkan 3 Kes Positif Hantavirus, 6 Disyaki 

JAKARTA – Pihak berkuasa kesihatan di Jakarta kini meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan penularan hantavirus selepas tiga kes jangkitan disahkan, manakala enam lagi kes disyaki masih dalam pemantauan.

Menurut laporan Jakarta Globe, Ketua Agensi Kesihatan Jakarta, Ani Ruspitawati berkata, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan wabak berkenaan bagi mengelakkan penularan lebih meluas di ibu kota Indonesia itu.

“Setakat ini, tiga kes hantavirus telah disahkan, manakala enam lagi kes yang disyaki sedang dipantau,” katanya selepas merasmikan Pusat Kesihatan Masyarakat Meruya di Jakarta Barat semalam.

Sebelum ini, pihak kesihatan Indonesia melaporkan empat individu dijangkiti hantavirus dan telah pulih sepenuhnya, sementara seorang lagi pesakit masih menerima rawatan.

Susulan peningkatan kes, kerajaan Jakarta turut mengedarkan pekeliling amaran dan kesedaran berkaitan hantavirus kepada semua fasiliti kesihatan di seluruh bandar raya berkenaan.

Ani berkata, beberapa hospital awam turut dilantik sebagai pusat pemerhati bagi memperketat pemantauan serta mengesan kemungkinan jangkitan dalam komuniti.

Dalam masa sama, Agensi Kesihatan Jakarta mengaktifkan pasukan tindak balas pantas bagi memperkukuh sistem amaran awal sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes hantavirus.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk mencuci tangan menggunakan sabun dan air mengalir bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Menurutnya, hantavirus boleh merebak melalui zarah aerosol daripada najis, air liur atau air kencing tikus yang tersebar di udara.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Indonesia turut memperketat pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta bagi mengesan pengembara yang berpotensi membawa jangkitan menerusi penerbangan antarabangsa. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *