MAHA Klinik, nama yang menyimpan kisah Mahathir dan Siti Hasmah
ALOR SETAR – Ada kisah cinta yang tidak diceritakan melalui kata-kata besar. Kadang-kadang, ia hanya tinggal pada sebuah nama yang terpampang di papan tanda.
Begitulah kisah MAHA Klinik di Alor Setar.
Dibuka pada 1957, nama klinik itu merupakan gabungan nama Mahathir dan Hasmah. Dua insan yang bertemu ketika menuntut pengajian di Singapura sebelum mendirikan rumah tangga.
Selepas berkahwin, Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan perkhidmatan awam dan membuka kliniknya sendiri. Nama MAHA pula menjadi tanda kasih buat isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang sentiasa berada di sisinya dan menjadi sumber semangat dalam perjalanan hidupnya.
MAHA Klinik pada asalnya beroperasi di Pekan Melayu sebelum berpindah ke Jalan Sultan Badlishah pada 1979. Klinik itu kemudiannya diserahkan kepada Datuk Dr Mohamed Yacob Dawood sekitar penghujung 1970-an.
Namun, hubungan pasangan itu dengan klinik tersebut tidak terputus.
Setiap kali pulang ke Alor Setar, mereka masih datang bertanya khabar kakitangan. Malah, setiap Ramadan, staf klinik turut diajak berbuka puasa bersama di rumah saudara mereka di Alor Setar.
Lebih daripada sekadar nama, MAHA Klinik turut menyimpan kisah bagaimana pasangan itu suatu ketika dahulu turun ke kawasan luar bandar untuk memberikan rawatan percuma kepada masyarakat kurang berkemampuan.
Bagi warga klinik, legasi itu masih diteruskan sehingga hari ini melalui perkhidmatan kesihatan pada kadar yang rendah.
Dan selepas pemergian Tun Dr Siti Hasmah pada 28 September 2026, papan tanda MAHA Klinik itu seolah-olah menyimpan satu lagi makna. Bukan hanya sejarah sebuah klinik, tetapi kenangan tentang dua doktor yang pernah membina kehidupan bersama, jauh sebelum nama mereka dikenali seluruh negara.
Sumber : BERNAMA
