MELBOURNE – Ahli Parlimen Bebas Australia, Helen Haines, 65, berada dalam keadaan kritikal selepas dirempuh sebuah kenderaan di luar pejabat kawasannya di Wangaratta, Victoria, pada petang Isnin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.35 petang waktu tempatan ketika Haines sedang mengeluarkan barangan dari but keretanya di kawasan parkir di Murphy Street. Beliau dilaporkan dirempuh sebuah Toyota LandCruiser berwarna putih sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Seorang lelaki berusia 43 tahun dari Tarrawingee ditahan di lokasi kejadian selepas dihalang orang awam. Polis turut menemukan sebilah pisau di dalam kenderaan yang dipercayai terbabit.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan kejadian itu sebagai bukan kemalangan, namun pihak polis masih menyiasat sama ada pelanggaran berkenaan dilakukan secara sengaja. Motif kejadian juga belum dipastikan dan setakat ini, pihak berkuasa menyatakan tiada ancaman berterusan terhadap orang ramai.
Siasatan melibatkan Polis Victoria, Polis Persekutuan Australia, Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia serta pasukan bersama antikeganasan. Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemimpin politik mengenai keselamatan wakil rakyat ketika laporan ancaman dan gangguan terhadap ahli politik di Australia semakin meningkat.









