ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

KJ Akan Tinggalkan `Keluar Sekejap’ Kalau Dah Masuk Balik Politik Sepenuh Masa

GEORGETOWN – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan siri podcast popular Keluar Sekejap (KS) akan terus mengekalkan pendekatan bebas dan tidak akan dijadikan platform propaganda mana-mana parti politik meskipun beliau kini kembali aktif dalam arena politik.

Khairy berkata, pasukan penerbitan sentiasa memastikan wujud mekanisme semak dan imbang dalam setiap episod bagi mengekalkan kredibiliti, ketelusan serta keseimbangan kandungan yang disampaikan kepada pendengar.

Menurutnya, beliau sedar sukar untuk mengelakkan persepsi berat sebelah apabila seseorang kembali menyertai politik, namun KS akan terus mempertahankan identitinya sebagai platform yang bebas mengulas isu semasa.

“Bukan mudah untuk menyembunyikan ‘bias’ apabila seseorang sudah memilih parti politik. Sebab itu sejak awal penubuhannya, KS dikenali sebagai platform yang bebas dan berani mengkritik.

“Kami akan terus memastikan kandungan yang dibawakan pelbagai supaya ia tidak dilihat sebagai alat propaganda kepada mana-mana parti politik.

“Kami juga membawa masuk personaliti baharu bagi memastikan pengisian kekal seimbang dan mempunyai pelbagai perspektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum Lepak Pemimpin: Ekonomi, Kuasa Penjenamaan, Pengaruh dan Penceritaan sempena CTOS SME Biz Day 2026 di sini hari ini.

Khairy berkata, pengalaman sebagai pengendali podcast mengajarnya untuk sentiasa bersikap autentik, telus dan santai bagi membina kepercayaan penonton, walaupun menyedari setiap kenyataan yang dibuat berpotensi digunakan terhadapnya pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakan pengasas KS, Shahril Hamdan, turut memainkan peranan penting dalam memastikan perbincangan kekal seimbang.

“Saya beritahu Shahril, kalau saya terlalu banyak menjadi jurucakap UMNO, dia perlu mengkritik saya semula.

“Itulah peranannya. Perlu ada keseimbangan dan dia tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan beliau masih terlibat secara aktif dalam penerbitan KS buat masa ini.

Bagaimanapun, katanya, pelan peralihan telah disediakan bagi memastikan operasi podcast tersebut dapat diteruskan sekiranya beliau kembali menyertai politik secara sepenuh masa.

“Buat masa ini saya masih bersama KS, tetapi kami sudah merancang proses peralihan untuk memastikan perniagaan ini terus berjalan.

“Jika saya diberi peluang bertanding, menang dan kembali menjadi wakil rakyat, saya akan berundur daripada podcast ini.

“Apabila saya kembali aktif sepenuh masa dalam politik, saya akan tinggalkan KS,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *