ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Dulu ‘Yang Kental Pasti Sampai’ Kini ‘Yang Santai Pasti Sampai’

KUALA TERENGGANU – Penganjur RXZ Members 8.0 menukar slogan rasmi himpunan motosikal itu daripada “Yang Kental Pasti Sampai” kepada “Yang Santai Pasti Sampai” sebagai usaha memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan peserta.

Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, perubahan slogan tersebut bukan sekadar pembaharuan, malah membawa mesej supaya semua peserta mengutamakan tunggangan berhemah ketika menuju ke lokasi program.

Menurutnya, aspek keselamatan menjadi fokus utama penganjuran tahun ini dengan sasaran sifar kemalangan maut sepanjang acara yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula Jumaat di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.

“Tagline kali ini bukan sekadar slogan, tetapi mesej kepada semua peserta supaya mengamalkan budaya menunggang secara lebih berhemah di jalan raya.

“Kita mahu keselamatan menjadi keutamaan setiap peserta, bukan sahaja ketika menyertai RXZ Members, malah dalam mana-mana acara bermotosikal.

“Kalau boleh, kita mahu mencapai sasaran sifar kemalangan pada penganjuran RXZ Members 8.0 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan penganjur adalah memastikan setiap peserta tiba di Terengganu dengan selamat, menikmati program yang disediakan dan pulang ke destinasi masing-masing tanpa sebarang insiden.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua peserta supaya mematuhi undang-undang jalan raya, memastikan motosikal berada dalam keadaan baik, mematuhi had laju yang ditetapkan serta mengelakkan aksi berbahaya yang boleh mengundang kemalangan.

Katanya, kerjasama semua peserta amat penting bagi memastikan RXZ Members 8.0 berlangsung dengan lancar, di samping mengekalkan imej positif komuniti peminat motosikal Yamaha RXZ.

Pada penganjuran tahun lalu, dua kemalangan maut dilaporkan membabitkan peserta program tersebut.

Justeru, penganjur menegaskan aspek keselamatan perlu diberi perhatian sepanjang perjalanan ke Terengganu, ketika berada di lokasi program dan juga sewaktu pulang ke destinasi masing-masing.

RXZ Members 8.0 dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *