NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Kereta ‘Terjunam Dari Langit’, Rempuh Bumbung Rumah

KUALA PILAH – Sebuah kereta terbabas sebelum terjunam ke atas bumbung sebuah rumah di kaki bukit di Jalan Kampung Tanjung Bachang, Seri Menanti, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun kenderaan berkenaan mengalami kerosakan selepas merempuh kediaman terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah Perodua Axia dalam perjalanan dari Seri Menanti menuju ke Seremban.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas dan meluncur ke bawah bukit lalu merempuh bumbung sebuah rumah.

“Insiden itu menyebabkan kerosakan pada rumah berkenaan, namun tiada penghuni rumah dilaporkan cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dua penumpang kereta iaitu penumpang hadapan dan seorang penumpang belakang mengalami kecederaan ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

“Pemandu lelaki berusia 63 tahun serta seorang lagi penumpang belakang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *