“Lembu Tak Mati, Terpaksa Tembak Kaki Bagi Mengelak Mudarat” – MB Perlis
KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menjelaskan tindakan melepaskan tembakan ke arah seekor lembu korban yang tular di media sosial dilakukan sebagai langkah keselamatan selepas haiwan itu terlepas daripada ikatan dan bertindak agresif.
Menurut beliau, insiden itu berlaku ketika Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis yang melibatkan 25 ekor lembu sempena sambutan Aidiladha.
Katanya, hanya seekor daripada haiwan korban tersebut bertindak di luar kawalan apabila talinya terlucut sebelum mengamuk, sekali gus menimbulkan risiko kepada petugas dan orang awam yang berada di lokasi.
“Daripada 25 ekor lembu yang dikorbankan, hanya seekor yang terlepas dan mengamuk. Demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, tindakan segera terpaksa diambil bagi memastikan keselamatan semua pihak.
“Tembakan itu hanya disasarkan pada bahagian kaki haiwan berkenaan. Lembu tersebut tidak mati akibat tembakan dan proses penyembelihan tetap dijalankan mengikut prosedur seperti biasa selepas ia berjaya dikawal,” katanya.
Abu Bakar berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan faktor keselamatan, lebih-lebih lagi selepas beberapa insiden membabitkan haiwan korban mengamuk yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri sehingga mengakibatkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa.
“Langkah itu diambil bagi mengelakkan risiko kepada petugas serta orang ramai. Kita tidak mahu berlaku kejadian yang boleh mengundang tragedi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa kejadian haiwan korban mengamuk termasuk insiden di Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan seorang lelaki selepas ditanduk kerbau, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah.
Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung video tular yang memaparkan Abu Bakar dipercayai melepaskan tembakan ke arah lembu korban menggunakan senapang patah.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihak polis telah mengambil maklum mengenai rakaman video tersebut dan siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti fakta sebenar kejadian.
