ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Kerajaan Belum Lunas Sepenuhnya Komitmen Kewangan Kepada Tabung Haji – Rafizi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani didakwa tidak melunaskan sepenuhnya komitmen kewangan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi penebusan Sukuk Urusan Jamaah Sdn Bhd (UJSB) Siri 1 bernilai RM12.5 bilion yang matang pada 29 Mei 2026.

Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kerajaan sewajarnya melunaskan komitmen itu sama ada dalam bentuk tunai atau aset yang mempunyai nilai setara.

Beliau berkata langkah berkenaan akan menggantikan aset TH bernilai RM12.5 bilion daripada aset atas kertas yang tidak menghasilkan aliran tunai kepada aset yang mempunyai aliran tunai serta lebih mudah dicairkan.

“Bagaimanapun, daripada jumlah RM12.5 bilion yang perlu dilunaskan, hanya RM965 juta adalah dalam bentuk hartanah, iaitu sebidang tanah di TRX dan tanah-tanah ladang di Sarawak.

“Jumlah berbaki RM11.5 bilion dilunaskan dalam bentuk satu lagi sukuk baharu yang akan matang dalam tempoh 10 tahun, iaitu kerajaan perlu membayar TH RM11.5 bilion pada 2036,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata penstrukturan kewangan TH yang diluluskan kerajaan pada akhir 2018 bergantung kepada kemampuan serta kepatuhan kerajaan melunaskan komitmen kewangan kepada institusi itu apabila tiba tarikh matang.

Beliau berkata menerusi struktur berkenaan, kerajaan Persekutuan melalui UJSB, sebuah syarikat milik penuh kerajaan, mengambil alih aset TH yang mengalami kerugian pada harga lebih tinggi daripada nilai sebenar.

“Sebagai ganti, UJSB menerbitkan dua siri sukuk kepada TH. Pada tarikh matang iaitu 2026 dan 2029, kerajaan Persekutuan membayar kembali TH untuk menggantikan kertas hutang itu sama ada dengan tunai atau aset pada nilai yang telah dipulihkan,” katanya.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata perkara berkenaan turut menjadi antara tumpuan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.

Menurutnya, laporan RCI memberi penekanan bahawa langkah memindahkan aset bermasalah TH dan menggantikannya dengan instrumen sukuk merupakan langkah sementara bagi membolehkan rizab TH kembali positif serta membolehkan institusi itu terus membayar hibah.

“Kerajaan perlu membuat peruntukan daripada belanjawan tahunan untuk memastikan komitmen kerajaan itu dilunaskan apabila tiba masanya, iaitu pada 2026 dan 2029,” katanya.

Rafizi berkata ketika Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan pada 5 April 2019 meluluskan peruntukan sekurang-kurangnya RM17.8 bilion bagi menampung kekurangan penebusan sukuk UJSB.

“Perkara ini disambung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan saya percaya di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam RMK13.

“Bagaimanapun, komitmen kewangan untuk memulihkan TH mengikut pelan pemulihan di bawah UJSB ini nampaknya tidak dipatuhi,” katanya.

Rafizi mendakwa berdasarkan penemuan RCI, hanya RM500 juta setakat ini dibayar kepada TH bagi tujuan penebusan sukuk UJSB.

Beliau berkata pada 2021, ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN), peruntukan RM1.5 bilion yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 tidak dibayar kepada TH atas alasan dana berkenaan diperlukan untuk pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19.

“Sehingga kini, sekali lagi kerajaan di bawah pentadbiran Madani tidak membayar sepenuhnya komitmen kewangan yang dipersetujui untuk memulihkan TH.

“Sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi, saya ingat kerajaan memang membuat peruntukan lebih RM1 bilion setahun bagi melunaskan sukuk UJSB yang matang pada 29 Mei 2026,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi mempersoalkan ke mana peruntukan berbilion ringgit yang disediakan selama ini bagi tujuan pemulihan TH telah disalurkan.

“Perbahasan Parlimen esok sewajarnya mendapat penjelasan yang berterus terang daripada kerajaan, ke mana wang berbilion yang diperuntukkan selama ini untuk memulihkan TH telah pergi?” katanya.

Beliau pada masa sama memberi amaran bahawa TH berdepan risiko kecairan aset dan aliran tunai pada masa akan datang sekiranya kerajaan ketika ini dan pentadbiran seterusnya terus menangguhkan komitmen melunaskan sukuk UJSB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *