KUALA LUMPUR – Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) disifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai peringatan kepada pemimpin parti gabungan supaya berlaku adil terhadap semua parti anggota.
Presiden Bersatu itu berkata, kuasa dan kedudukan dalam sesebuah gabungan tidak sepatutnya digunakan untuk mengutamakan kepentingan parti atau kelompok tertentu sehingga menjejaskan matlamat asal penubuhannya.
Menurut Muhyiddin, kepimpinan parti gabungan juga perlu menghormati perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 bagi memastikan urusan dan pentadbiran gabungan berjalan mengikut peraturan.
Beliau turut melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan pembatalan pendaftaran PN. Sebagai pengasas gabungan itu, Muhyiddin berkata beliau akan membincangkan langkah seterusnya bersama pimpinan Bersatu dalam Mesyuarat Biro Politik Khas.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober 2026.
Sumber : Harian Metro









