KUALA LUMPUR – Perbahasan di Dewan Rakyat bertukar tegang susulan penggunaan istilah munafik ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027, sehingga mendorong Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengingatkan Ahli Parlimen supaya lebih berhati-hati memilih perkataan.
Johari berkata, istilah yang mempunyai maksud mendalam, khususnya berkaitan agama, tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya kerana bukan semua wakil rakyat mempunyai tahap pemahaman yang sama.
Beliau turut berkongsi kebimbangannya sendiri terhadap penggunaan istilah berkenaan. Johari menjelaskan bahawa beliau bukan lulusan sekolah agama, sebaliknya mendapat pendidikan di sekolah Inggeris.
“Bagi saya kalau orang tuduh saya munafik, saya balik demam terus,” katanya ketika memberikan teguran di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sebelum itu, kekecohan berlaku apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) memetik hadis mengenai tanda munafik ketika membahaskan isu berkaitan perkataan waad yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa membentangkan RUU Perbekalan 2027 pada 9 Oktober lalu.
RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian membangkitkan isu penggunaan bahasa yang didakwanya tidak sopan, sekali gus mencetuskan pertikaman lidah antara wakil kerajaan dan pembangkang selama kira-kira 10 minit. Keadaan kembali tenang selepas campur tangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau.
Johari menggesa Ahli Parlimen memilih perkataan yang tidak mencetuskan kontroversi supaya masa persidangan dapat dimanfaatkan untuk membincangkan isu dan masalah rakyat, bukannya berlarutan dalam pertikaian istilah.
Sumber : Sinar Harian









